Isnin, April 06, 2009

PADAH SEBUAH PERBANDINGAN


Sebaik sahaja pintu terbuka, Dyana melangkah masuk dan menghempaskan ponggong ke sofa. Sempat dia mencapai alat kawalan jauh dan menghidupkan kipas siling.

Dyana merehatkan tengkuknya di belakang sofa sambil memandang kosong pada kipas yang ligat berpusing. Seligat fikirannya yang mengingati kejadian-kejadian pagi tadi. Juga memikirkan kemungkinan-kemungkinannya.


* * * * * *

“Kenapa lambat, Dy?”

Dyana sudah mengagak itulah soalan pertama yang akan keluar dari bibir Yanti sebaik sahaja dia lolos dari kawasan kontrol MRT. Dari jauh Dyana sudah melihat wajah gelisah temannya. Sempat Yanti menayangkan jam di tangannya lagi sebagai isyarat kelambatan Dyana.

Sorrylah.. Bukan lambat sangat pun. Sepuluh minit je..”

“Hello cik adik! Satu minit pun berharga tau.”

Dyana tersenyum memujuk. “Ala.. Ira bukannya nak mati lagi. Dia cuma sakit je kan. Buat apa nak kelam-kabut sangat.”

Yanti tidak menjawap. Sebaliknya dia mengheret tangan Dyana untuk berjalan seiring. Mereka menuju ke perhentian bas. Tujuan ialah menziarah bekas teman sekolah mereka yang di serang angin akhmar.

Walaupun jam baru menunjukkan ke pukul sepuluh pagi, tetapi terik mentari begitu menggigit kulit. Sambil meninjau-ninjau nombor bas yang baru datang, Yanti menyambung perbualan mereka tadi.

“Dy pun tau kan perangai Yan dari dulu mana suka menunggu-nunggu macam ni.”

“Yan, dalam hidup kenalah tolak ansur sikit. Bukan semua kebiasan kita tu akan menyenangkan orang lain. Lagipun bukan Dy sengaja nak lambat. Gas kat rumah tu, tengah masak tiba-tiba je kehabisan. Tunggu Apek yang antar gas tu lah yang buat lambat.” Dyana bersungguh-sungguh menceritakan punca kelambatannya. Mengharapkan pengertian Yanti.

“Yan bukan apa.. Paling-paling pun janganlah sampai buat kita ni macam muka poster kat tempat orang ramai lalu-lalang tu.”

Dyana tergelak mendengar celoteh Yanti beserta memek mukanya yang lucu.

“Silap Yan juga salah pilih time nak ajak Dy dating... Dy tak sedap hati kalau tinggalkan rumah tanpa masak dulu. Mana tau tup tup abang Radzi balik.. Dah lah Dy takda kat rumah, lauk pun takda. Naya je kerja. Ha! Yan pula tak kan tak masak dulu?”

“Abang Adi tak kerja berapa hari ni sebab habiskan cuti tahun. Jadi hari ni dia yang masak. Lagipun dia tahu Yan nak keluar pagi ni.” Selamba sahaja Yanti bercerita. Dyana yang terkejut mendengarnya.

“Yan suruh suami Yan masak!? Bagusnya jadi isteri..”

“Tadikan Dy juga yang cakap hidup mesti tolak ansur. Begitu juga suami isteri. Dah nasib Yan dapat suami yang pandai masak. Sesekali dia tak kerja biarlah kita pula merasa masakan dia. Sekurang-kurangnya bila tiba-tiba kita jatuh sakit macam Ira, pandai juga dia bantu masakkan untuk keluarga pula. Tak lah asik beli makan luar je. Eh! Dah lah.. tu bas dah sampai tu.”

Dyana menuruti langkah Yanti. Namun fikirannya sedang melayang jauh membenarkan kata-kata Yanti sebentar tadi. Dia terkenang suaminya sendiri. Tidak diketahui kebolehan suaminya sampai ke dapur atau tidak. Sejauh perkahwinannya bersama Radzi, belum pernah Radzi membantunya memasak.

Tetapi Dyana tidak pernah kisah semua itu kerana Dyana sedar sudah menjadi tanggung jawap isteri untuk menjaga makan pakai suami. Dan tanggung jawap suami untuk menyediakan semua itu.

Ketika mereka sampai di rumah Sairah, kawan mereka sedang sarapan di dalam biliknya.

“Masuklah.. Maaf ye, bilik ni belum terkemas lagi.” Pelawa Hilmi, suami Sairah.

Pintu bilik dibuka luas. Sairah menyambut kedatangan kawan-kawannya dengan senyuman.

“Kami tak mengganggu ke ni?” Tanya Dyana kurang selesa.

Dia dan yanti sebenarnya keberatan untuk masuk ke bilik utama teman mereka. Tetapi memandangkan keupayaaan Sairah begitu terbatas, mereka akur akhirnya.

“Tak lah.. Ira happy kalian datang.” Sairah mengisyaratkan mereka duduk berhampiran dengannya di atas katil sebelah kiri. Manakala sebelah kirinya pula, duduk sang suami sedang menyuapkan bubur.

Dyana memerhatikan semuanya dengan penuh insaf. Kesian dia mengenangkan nasib Sairah. Dalam usia yang masih muda dia sudah terkena penyakit yang sebegitu. Sairah di serang angin akhmar seminggu yang lalu. Dia sudah dibawa berjumpa doktor dan mendapat rawatan di hospital. Tetapi dibawa pulang ke rumah atas permintaan keluarganya yang ingin dia dirawat cara melayu dahulu. Menurut kata pakar penyakit Sairah masih di peringkat awal dan ada harapan untuk pulih.

Sedikit air bubur melekat di tepi bibir Sairah. Hilmi mengambil tissue dan menggesatnya. Sairah tersenyum pada suaminya.

“Hilmi ke yang masak ni?” Tanya Yanti sekadar berbahasa basi.

“Betullah tu.. Sebab tu Ira makan laju je ni.” Sairah menjawap dengan bangga. Hilmi tersenyum.

Yanti melihat jam di tangannya hampir menunjukkan ke pukul sebelas pagi.

“Ni sarapan ke makan tengahari sekali, Hilmi?” Sekali lagi dia bertanya. Sahaja hendak mengusik.

“Kalau boleh sama minum petang sekali.” Hilmi juga membalas usikan Yanti.

Semua di situ tertawa mendengarnya. Dengan tawa yang tersisa, Dyana perasan Hilmi sudah berapa kali melirik ke arah jam. Dari cara Hilmi berpakaian, Dyana mengagak Hilmi mungkin ingin segera pergi ke kerja.

“Mari Dy tolong sambung suapkan Ira, Hilmi.” Pelawa Dyana.

Semua menoleh pada Dyana. Kemudian Sairah memandang suaminya. Hilmi menyerahkan mangkuk bubur kepada Dyana. Kemudian dia berpaling melihat isterinya.

“Ira tak apa-apakan kalau abang tinggalkan Ira bersama kawan-kawan? Abang ada appointment dengan client tengahari ni.”

Sairah mengangguk faham. Sebaik sahaja suami Sairah keluar, barulah tiga sekawan itu rancak berbual.

“Bertuah Ira dapat suami macam Hilmi. Ira sakit-sakit macam ni, semuanya dia siapkan. Sanggup lambat ke pejabat semata-mata nak siapkan semua keperluan Ira dulu. Kadang-kadang benda yang Ira mampu buat sendiri pun dia nak uruskan.”

“Baguslah tu Ira.. Syukur nasib badan..” Usik Yanti.

“Ira kesian dengan dia.. Sampai bilalah Ira macam ni.” Suara Saira bertukar nada.

“Sabar lah Ira.. Mungkin ini ujian untuk Ira.” Dyana turut bersimpati.

“Ira cuma takut Hilmi yang tak tahan ujian.”

Keluahan Sairah sedikit sebanyak meninggalkan kesan dalam hati Dyana. Dia bertanya pada diri sendiri, apakah Radzi juga akan melakukan semua ini sekiranya dia jatuh sakit?


* * * * * *


Pantas Dyana mendapatkan suaminya yang sedang duduk membelek akhbar harian. Menyalami dan duduk di sisi suaminya.

“Abang dah makan?”

“Belum lagi. Kejap lagi abang nak pergi kerja semula.” Radzi melipat akhbar tadi.

“Kalau gitu biar Dy sajikan makan dulu.”

Segera Dyana ke dapur. Dalam hatinya merungut. Radzi menunggu dia pulang rupanya. Kalau Dyana lambat balik tadi, adakah Radzi tidak akan makan? Tidak boleh ambil makan sendiri ke?

Dyana teringat pada Adi, suami Yanti yang dikatakan pandai masak dan pada Hilmi, suami Sairah yang pandai menyediakan makanan untuk isterinya. Boleh ke Radzi seperti itu sekiranya dia sakit?

Ketika sedang makan, Dyana hilang selera mengenangkan itu semua. Soalan-soalan itu membelenggu fikirannya.

“Kenapa ditenung je nasi tu?” Radzi kehairanan.

Dyana memandang suaminya. Lama. Sehingga terhenti suapan Radzi dibuatnya.

“Abang.. Kalau ditakdirkan Dy sakit satu hari nanti. Siapa yang akan menguruskan rumah dan menjaga Dy?” Terluah juga soalan itu.

Radzi menyudahkan makanannya. Mencuci tangan dan minum air yang disediakan. Soalan Dyana seolah-olah bukan perkara yang mengejutkan baginya. Sebelum berdiri Radzi menjawap dengan selamba.

“Buat apa fikir perkara yang belum terjadi. Kalau dah terjadi nanti barulah kita cerita. Dah lah.. abang pergi dulu.” Radzi terus berlalu.

‘Ish! Takda perasaan langsunglah suami aku ni.’ Dyana mengerutu dalam hati. Tetapi kemudiannya dia bingkas bangun untuk menghantar kepergian suaminya.


* * * * * *


“Apa!? Abang Radzi kemalangan?”

Terasa lemah lututnya untuk menampung berat badan. Dyana jatuh terduduk sebaik sahaja menerima panggilan telefon mengenai kemalangan suaminya. Bergegas dia ke hospital. Sempat dia memberitahu Yanti yang kemudian menyusul kemudian bersama suaminya.

“Sabarlah Dy.. Dah tertulis nasibnya begini. Nasib baik Radzi selamat.” Pujuk Yanti.

“Dy sangka Dy yang akan sakit. Rupanya jadi sebaliknya, Yan.”

“Ya Allah kenapa Dy fikir yang bukan-bukan? Dah lah..”

Kemalangan yang melibatkan kereta Radzi dengan sebuah bas awam telah memberi kesan yang memeritkan. Radzi kehilangan kedua-dua kakinya. Kakinya terpaksa dipotong kerana hancur teruk akibat tercepit.

Berbulan di hospital dan setelah menjalani beberapa pembedahan, akhirnya dia dibenarkan pulang. Di rumah Radzi hanya mampu bergerak dengan menggunakan kerusi roda. Dia rimas dengan keadaan dirinya. Jika sudah Radzi sendiri merasa begitu, Dyana lebih lagi.

Kerenah suaminya yang terkadang mencabar kesabarannya dilayankan sahaja. Menurut kata doktor Radzi mungkin mengambil masa yang agak lama untuk memulihkan kestabilan dirinya. Kehilangan anggota tubuh yang terpenting membuatkan Radzi hilang keyakinan diri. Sering marah-marah dan sensitif. Sudah menjadi tugas Dyana untuk memulihkan semangat suaminya.

Namun sebagai insan biasa yang punya perasaan, Dyana tidak lepas dari tension. Dia terpaksa keluar bekerja untuk menampung perbelanjaan rumah dan juga rawatan suaminya. Kepenatan bekerja dan mengurus rumahtangga, ditambah lagi dengan mengurus suami yang sudah cacat dan sikap sensitif Radzi yang semakin menjadi sekian hari, membuat Dyana hilang pertimbangan diri.

Dyana merasa tenang apabila berada di luar rumah. Sebab itu dia banyak menghabiskan masanya di luar. Dia tahu pulangnya sahaja di rumah sudah pasti banyak tugas yang menanti. Beserta dengan omelan Radzi. Akhirnya Dyana jadi kebiasaan dan Radzi semakin diabaikan. Dyana sudah lali dengan kata-kata Radzi. Hilang sudah rasa hormat pada suami sendiri. Sehingga pada satu hari..


* * * * * *


“Kenapa ni? Ada apa ramai-ramai kat rumah saya?” Dyana terkejut mendapati ramai orang berkerumun depan rumahnya. Ada dua buah kereta polis dan ambulan juga.

Semua mata tertumpu pada Dyana yang baru sahaja pulang dari kerja. Tidak seorang pun dari jirannya yang berani bersuara. Semuanya ke tepi untuk memberi laluan. Seorang pegawai polis menahan Dyana.

“Ini rumah saya encik. Mana suami saya? Apa dah jadi ni?”

“Oh jadi mayat lelaki itu, suami anda?”

“Ya Allah! Abaaangg..!!”

Radzi dijumpai mati tertimpa kerusi rodanya sendiri. Dia terlupa mengunci pergerakan roda sebelum cuba mencapai periuk untuk mengambil makannnya sendiri. Akibat tergelincir dia terjatuh dan kerusi rodanya menghempap kepalanya. Lauk dalam periuk yang baru di hangatkan juga tertumpah ke atasnya.

“Abang..!! ampunkan Dy bang.. jangan tinggalkan Dy..” Dyana menjerit dan menangis semahu-mahunya.


* * * * * *


“Abang.. jangan tinggalkan Dy.. Ampunkan Dy.. Dy berdosa pada abang..”

“Dy.. Dyana. Kenapa ni?”

Dyana menepis tangan-tangan yang memegangnya. Tidak menghiraukan panggilan itu. Mulutnya terus memanggil-manggil suaminya dengan mata terpejam.

“Eh Dy.. Ini abang lah sayang. Kenapa ni? Bangunlah..”

Perlahan-lahan Dyana membuka matanya bila terdengar suara itu.Kelihatan seseorang sedang tersenyum memandangnya.

“Tidur siang hari sampai bermimpi.”

Dyana membuka luas matanya dan memerhati sekeliling. Tidak ada pegawai polis. Tidak ada orang ramai-ramai. Yang ada di hadapannya ialah wajah Radzi. Dalam keadaan yang masih mamai Dyana memerhatikan seluruh tubuh suaminya. Tidak ada cacat cela. Radzi sihat.

Keadaan masih seperti ketika dia baru pulang dari melawat Sairah. Kipas siling masih berpusing. Dia tertidur rupanya tadi.

“Penat sangat ke sampai tertidur. Hmm? Abang balik tadi pintu rumah pun terdedah. Nasib bukan orang lain yang masuk.” Radzi membelai rambut isterinya. “Sayang mimpi apa ni tadi?”

Dyana mengeluh kelegaan dan beristighfar dalam hati. Dia memeluk suaminya untuk menghilangkan kegugupan. Dia hanya menggelengkan kepala. Tidak mungkin dia menceritakan mimpi buruk itu pada suaminya. Dia rasa berdosa yang teramat sangat kerana mengabaikan suami sendiri. Sangkanya dirinya yang akan terabai kerana sikap tidak ada perasaan yang ditunjukkan oleh Radzi. Rupanya dia sendiri yang mengabaikan tanggung jawap sebagai isteri. Mujur hanya mimpi.

Dyana berjanji seburuk mana pun suaminya, dia tidak akan membandingkan suaminya dengan suami orang lain. Tidak dengan Adi. Tidak juga dengan Hilmi.


TA M A T


Salam Sayang
~Putri Lily~

2 ulasan:

  1. benar2 memberikan pgjrn yg berguna..

    BalasPadam
  2. Terima kasih kerana membaca dan meninggalkan komen. Semoga terhibur.

    BalasPadam

Terima kasih kerana membaca entri ini dan meninggalkan komenter anda. Komenter anda sangat dialu-alukan dan dihargai.

Terima kasih sekali lagi.

Salam Sayang
~Putri Lily~