Rabu, April 08, 2009

SIAPA AMIRA 2

OKTOBER 2006

BEBERAPA kali Putrisya menilik telefon bimbitnya. Harapan untuk mendengar deringan atau pun pesanan melalui SMS, belum kesampaian.

“Tak kan merajuk sampai berhari-hari?” Gumamnya sendirian.

Baru dua minggu lepas dia rasa cukup bahagia. Orang yang selama ini menghilang, kembali menghubunginya. Walaupun itu memang diharapkan tetapi Putrisya tidak pula mempamerkan sangat apa yang sedang dirasa. Dia begitu tenang menerima pemuda itu dalam hidupnya semula.

Walau sudah dua kali Putrisya dikecewakan oleh orang yang sama, entah mengapa dia masih sanggup menerimanya lagi. Hanya sahaja kali ini Putrisya lebih berhati-hati. Tidak mudah untuk jatuh cinta lagi.

Tetapi semalam, pertelingkahan terjadi lagi antara mereka. Apa yang diharapkan pada perhubungan kali ini hanya sekadar persahabatan bagi Putrisya, malangnya untuk bersahabat juga Putrisya dapati ianya amat sukar. Hanya dia yang menginginkan begitu. Tidak bagi pihak pemuda itu.

“Sahabat.. sahabat.. sahabat!! I tak perlukan sahabat lagilah.. I dah banyak sahabat. Yang I perlukan ialah kekasih.. you faham tak?”

Putrisya mengeluh bila mengingatkan kata-kata kasar dari pemuda itu, diluahkan padanya melalui telefon. Sedangkan selama perkenalan mereka dahulu, belum pernah pemuda itu meninggikan suara begitu. Mungkinkah kerana pemuda itu mula memikirkan masa depannya dengan lebih serius? Makanya Putrisya tidak diberi peluang untuk menimbangkan semula perhubungan mereka. Padahal Putrisya berhak mengambil masa untuk menerima cinta pemuda itu setelah gagal dua kali.

Berkali-kali Putrisya cuba menghubungi setelah pertelingkahan mereka. Pesanan ringkas yang dihantar juga tidak berbalas. Akhirnya Putrisya pasrah. Biarlah jika perpisahan terjadi lagi buat kali ketiga ini. Dia tidak mahu berharap lagi. Jika ditetapkan jodohnya ada, Putrisya hanya menurut ketentuan itu.

Namun begitu Putrisya gadis yang tabah. Biar terluka wajahnya tetap tenang. Kekecewaanya berjaya diselindungkan daripada sesiapa. Tetapi Putrisya tidak tahu jika ada yang prihatin terhadap dirinya.

* * * * * *

DIA menghempas daun pintu sekuat hati. Seakan melepaskan geram yang terbuku di hatinya saat itu. Kerusi ditarik kasar sebelum menghenyakkan ponggongnya. Fail biru yang dibawa dicampak di atas meja.

“Perempuan semua sama!!” Kedengaran dia merungut.

Dia meraup muka dengan tangan untuk menghapus keresahannya. Tetapi semakin jelas bayangan temanitanya, Rahayu bermesra dengan rakan sekerjanya, Alaudin. Entah apa nasib dia pagi itu boleh terserempak dengan mereka ketika ingin bersarapan di kafe.

Nampak sangat Rahayu dan Alaudin terkejut dengan kemunculan dia. Tetapi Rahayu yang memang pandai bermuka-muka, pantas mengambil tindakan dengan tidak memperdulikan kehadiran dia.

“Dulu masa aku kepunyaan seseorang, kau yang terhegeh-hegeh kat aku. Sekarang bila aku sudah mula terima dan menyayangi, kau pula mempermainkan aku. Dah tu lelaki yang dah beristeri itu pula yang kau kejar.” Dia merungut lagi.

Tiba-tiba dia teringat gadis lamanya. Gadis yang ditinggalkan begitu sahaja. Hanya kerana lebih tertarik dengan Rahayu yang lebih bersikap terbuka. Oh tidak! Sebelum itu ada satu hal lain yang membuat dia mengambil keputusan untuk meninggalkan gadis itu. Ini kerana dia mendapati perhubungan mereka yang tidak tentu hala. Seakan tidak punya hala tujuan.

Walaupun gadis itu tidak pernah menyakitkan hati dia. Sentiasa berlembut dan memaafkan setiap kesilapan dia. Namun gadis itu seorang yang mempunyai pendirian yang berbeza dengan gadis-gadis lain. Lantas pendirian itulah yang membuat dia mengambil langkah itu. Iaitu perpisahan.

“Kamu pun sama. Tak pernah mahu memahami apa yang ku inginkan.” Dia melepaskan keluhan.

Tetapi hanya satu sahaja kelemahan dia, walau berapa kali pun dia merasa kecewa, gadis itu tetap dirinduinya. Sudah berapa kali juga gadis itu yang dicarinya. Hanya gadis itu seorang sahaja yang mampu menyejukkan panas baran dan melayan tingkah lakunya. Kekerasan hati gadis itu jugalah yang meruntuhkan keegoan dia sebagai lelaki. Tetapi untuk sekian kalinya, gadis itu ditinggalkan lagi.

Baru-baru ini dia menerima e-mel daripada gadis itu. E-mel yang menunjukkan gadis itu tidak pernah berdendam dan masih ingin meneruskan perhubungan mereka, walaupun hanya sebagai sahabat. Mungkin kerana ego lelakinya yang terlalu tinggi atau dia rasa malu dengan keputusan memutuskan perhubungan lagi, itu yang menyekat niatnya untuk membalas e-mel gadis itu. Padahal ketika rindu bertandang, mahu sahaja dia memohon maaf. Apa lagi apabila dia tahu gadis itu masih sudi menghubunginya.

Lalu dia berpaling kepada Rahayu yang sememangnya sejak dahulu lagi meminati dirinya. Rahayu memang memenuhi cita rasanya. Tetapi gadis itu terlalu sosial. Berbanding dengan gadis misterinya.

Kini Rahayu berpaling tadah. Ataukah Rahayu ingin membalas dendam kerana selama ini cintanya tidak mendapat balasan? Dan sekarang apabila jerat sudah mengena, dia mula memulangkan paku buah keras.

“Argh..!!!”

Keluhan yang begitu berat kedengaran keluar lagi dari mulutnya. Tanpa dia sedari keluhannya mendapat perhatian dari seseorang yang sedari tadi mengawasi gerak gerinya.

* * * * * *
SELEPAS menunaikan solat Maghrib, dia berdoa memohon ketabahan hati. Seketika dia termenung di atas sejadah. Ada satu wajah yang terbayang olehnya saat itu.

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi pesanan ringkas dari telefon bimbitnya.

Sejadah disidai di tempatnya. Dia mencapai telefon sambil melangkah menuju ke katil.

“Siapa pula ni? Nombor tak pernah kenal pun.” Dia bertanya sendiri. Namun pesanan ringkas itu dibacanya.

Rec>Hi.. Apa khabar?

Ans>Baik alhamdulillah..
Who r u?

Sementara menanti balasan, dia cuba mengingati nombor siapa yang tertera di skrin kecil telefon bimbitnya itu. Tetapi sampai berkerut dahinya, dia tidak dapat mengingati.

Kerana mesejnya belum berbalas, dia nekad untuk membuat panggilan. Sayangnya panggilan pun tidak berjawap. Deringan di seberang sana terbiar sepi sahaja. Akhirnya dia memutuskan talian dan tidak mahu memikirkan lagi. Tidak lama selepas itu bunyi pesanan ringkas kedengaran lagi.

Pantas dia membuka kotak mesejnya.

Rec>U cal me eh?
Sorry I tak ans.. Takutlah.. :)

“Hemm.. takut tapi nak SMS orang..” Dia merungut sendirian.

Dia melemparkan telefon bimbitnya di atas bantal. Tidak berminat untuk membalas lagi.

Lewat tengah malam, dia baru sahaja hendak melelapkan mata. Kedengaran lagi bunyi pesanan masuk di telefon bimbitnya. Dengan malas dia cuba mencelikkan mata untuk membaca.

Rec>Nite.. Sweet dream..

Baik-baik sudah mengantuk jadi segar bila dia mendapati pesanan itu datang dari nombor yang sama lagi. Geram betul dia. Terasa diri dipermainkan. Dari berbaring jadi terduduk kerana ingin membalas pesanan itu.

Ans>
Who a hell are u?
And stop ur nonsence
..!

Puas hatinya bila melihat pesanannya sudah dihantar. Tidak perlu menunggu lama mesejnya mendapat balasan.

Rec>Hmm.. nak ucap slmt mlm pun kena marah… :(

Entah kenapa dia tersenyum bila membaca balasan itu.

Ans>I minta maaf..
Jika betul u tak kenal dgn I,
kenapa mesti u takut ans my ph cal?

Rec>Oh jadi betul ke org yg saling mengenali, takut nak ans cal?
Takut atau melarikan diri namanya tu ya?
Tapi I lain..
I tak ans sebab I takut nak berbual dgn org yg baru ingin I kenali.

Tercengang dia membaca balasan mesej itu. Berkali-kali dia ulang membaca. Dia terperangkap dengan soalannya sendiri. Kenapa sipengirim boleh membalas sedemikian? Ah! Mungkin sipengirim tidak berniat apa-apa. Tetapi mengapa dia begitu terasa hati dengan mesej itu?
Penat berfikir, dia mematikan telefon bimbitnya. Tiada bersemangat lagi untuk mengetahui siapa pengirim itu.
* * * * * *
p/s Bersambung.. Insya-Allah
Salam Sayang
~Putri Lily~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana membaca entri ini dan meninggalkan komenter anda. Komenter anda sangat dialu-alukan dan dihargai.

Terima kasih sekali lagi.

Salam Sayang
~Putri Lily~