Jumaat, Mei 15, 2009

SIAPA AMIRA 13

SEPERTI yang dijanjikan, Danial datang menjemput Putrisya. Tetapi Putrisya mencadangkan agar menggunakan keretanya sahaja. Kerana dia yang akan memandu. Danial hanya menurut. Tidak mahu menambahkan lagi kekusutan yang sedia ada pada wajah Putrisya.

Entah kenapa Danial perhatikan wajah gadis itu murung sekali. Hanya terukir sedikit senyuman ketika Putrisya menyambut kedatangannya di awal tadi. Sekali sahaja. Selepas itu senyuman itu terus lenyap bersama kesunyian.

Dalam kereta pun Putrisya begitu tekun dengan pemanduannya. Mata ayunya lurus memandang jalanraya di hadapannya. Tetapi fikirannya kemana, Danial pun tidak tahu. Bila sesekali Danial bertanya, sekali itu lah Putrisya menjawap.

“Siapa nama kawan Putri tu?” Danial bertanya sambil memandang Putrisya.

“Emm? Kawan yang mana?” Tanya Putrisya bingung. Pandangannya tidak sedikit pun dialihkan.

Danial sudah menjangka fikiran Putrisya tidak di situ. Danial tidak bertanya soalan yang sama. Sebaliknya dia bertanya lain.

“Putri rasa terpaksa ke nak bawa Dani jumpa kawan Putri tu?”

“Eh tak lah... memang Putri nak bawa pun. Nak bersihkan nama Putri dari tuduhan.” Balasnya dengan perlahan. Sempat dia melemparkan senyuman sedikit agar Danial tidak terasa hati dengan sindirannya.

Belum sempat Danial bertanya, Putrisya lebih dahulu menyambung.

“Kawan Putri tu... Aisha namanya...”

Tidak jadi Danial hendak mengulas kata-kata Putrisya awal tadi. Dia sekadar menganggukkan kepala bila mendengar nama sebenar Amira.

Tiba-tiba pandangan Danial terarah ke sekelilingnya. Dia menyedari kalau jalan yang di ikut oleh Putrisya sudah jauh meninggalkan kawasan perumahan. Tidak pula menunjukkan jalan yang akan membawanya ke mana-mana hospital. Namun berat pula rasanya untuk bertanya. Sekadar menanti dalam persoalan.

Terkejut sekali Danial apabila kereta berhenti di kawasan tanah perkuburan. Matanya memandang tepat wajah Putrisya. Tetapi Putrisya hanya menunduk. Mereka masih belum keluar dari kereta.

“Putri...” Danial memanggil kehairanan.

Putrisya menghembuskan nafasnya dalam-dalam. Kemudian dia mengangkat wajahnya menoleh Danial yang begitu asyik memerhatikannya.

“Dani nak jumpa dia, kan?”

“Tapi...?”

Sepatah kata Danial sudah difahami oleh Putrisya. Oleh yang demikian dia lebih dahulu mengangguk tanda membenarkan apa yang Danial fikirkan.

“Aisha sudah meninggal, Dani...”

Ada getaran pada nada suara Putrisya. Ada air yang bertakung di kelopak matanya. Danial kehilangan kata-kata.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un...” Hanya itu sahaja yang mampu keluar dari bibirnya.

Tiba-tiba Danial teringat salah satu ayat dari mesej Amira.

‘U akan menyesal kalau u tau keadaan I sebenarnya.’

“Bila yang dia meninggal?" Tanya Danial untuk menutup kegugupannya. Terasa bersalah kerana pernah mengecewakan permintaan orang yang akan menghadap Tuhannya.

“Percaya atau tak... terpulang Dani. Aisha sebenarnya dah meninggal... hampir tiga tahun lepas...”

What.!!??”

Bagaimana Danial mahu percaya. Wanita misteri yang mengganggunya mungkin memang sudah meninggal, jika benar dari ceritanya, dia berpenyakit. Tetapi bila dikatakan sudah meninggal dalam tempoh yang begitu lama, Danial keliru. Padahal baru tiga minggu lepas sahaja dia tidak terima apa-apa mesej lagi dari Amira.

“Memang susah nak percaya kan? Putri sendiri pun tak percaya bila baca mesej-mesej tu. Tapi Putri yakin dari apa yang tertera, yang dia ngadu pada Dani, yang dia rasa, semuanya memang Aisha juga mengalaminya sebelum akhir nafasnya.”

* * * * *

IMBASAN 2002

KASIHAN Aisha. Dia terlibat dengan kemalangan bersama kekasihnya Ruyudy. Akibat dari kemalangan itu, Ruyudy maut di tempat kejadian. Sementara Aisha dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana luka parah di bahagian kepala. Dia mengalami gegaran yang teruk pada otaknya. Aisha koma selama tiga minggu. Doktor melakukan pembedahan pada Aisha.

Berkat kesungguhan Putrisya yang seringkali datang dan berbual, walaupun dia tahu Aisha tidak sedar, tetapi Putrisya yakin Aisha mendengar tiap kata-katanya. Akhirnya Aisha sedar semula dan ditukar masuk ke wad.

Sedarnya sahaja dia sudah bertanya tentang keadaan Ruyudy. Kerana desakanlah maka akhirnya Putrisya mengkhabarkan berita buruk yang menimpa Ruyudy.

“PAPAA!!! Tidakkk!! Papa tak boleh tinggalkan Mama... Papa tak boleh pergi...” Jeritan itu begitu menyayat hati.

“Astaghfirullah lazim ... Bawa mengucap Sha...”

Sebak hatinya sendiri sengaja ditahan. Sedih mengenangkan nasib yang menimpa Aisha. Dia perlu kuat jika ingin memberi semangat pada sahabatnya.

Aisha benar-benar tidak dapat menerima hakikat yang Ruyudy terkorban. Dia begitu emosional dan terjerit histerius. Dia cuba mencabut wayer yang melekat di kepalanya. Putrisya gagal menenangkan sahabatnya. Dia segera menekan butang pemanggil untuk minta bantuan.

“Sabar Sha... tiap yang hidup pasti mati lawannya. Kau kena terima hakikat ni semua.” Putrisya masih lagi cuba menyabarkan.

“Tapi kenapa mesti dia saja yang pergi? Kenapa dia tinggalkan aku? Dia... dia janji akan bersama sehidup semati dengan aku. Sepatutnya aku dibawa sama, Putri...” Aisha masih lagi meraung tidak ketentuan.

“Jangan cakap macam tu, Sha. Kita patut bersyukur... kau selamat. Aku sendiri tak mahu kehilangan kau...” Menitis juga airmata Putrisya.

“Aaarrgghhh!!! Papaaa!!...” Tiba-tiba Aisya meraung sekuat hati sambil meronta-ronta.

Dalam keadaan yang kelam kabut itu doktor sampai dan memberi suntikan pada Aisha. Tetapi tiba-tiba pergerakan Aisha terhenti. Dia memegang kepalanya. Menekan-nekan seakan cuba menahan sakit yang teramat sangat. Dahinya berkerut dan matanya terkejam. Akhirnya dia lemah dan tangannya terkulai.

“Sha...” Bisik Putrisya tidak kedengaran. Dia hanya memerhati doktor menguruskan sahabatnya.

“Jangan bimbang. Kami dah beri dia ubat menahan sakit. Biarlah dia berehat dulu. Buat masa sekarang otaknya masih lemah lagi.” Doktor itu memberi keterangan pada Putrisya sebelum melangkah keluar.

Putrisya mengangguk tanda memahami maksud doktor itu.

‘Tuhan... selamatkanlah kawan ku...’ Dalam hati Putrisya memanjatkan doa.

* * * * *

KEMBALI 2007

PUTRISYA gagal menahan airmatanya yang mengalir di hadapan Danial.

“Bila teringat balik pada tahun dia kemalangan tu, berapa susahnya Putri membimbingnya kembali menjadi Aisha yang dulu. Walau tidak sepenuhnya, tapi Alhamdulillah... dia masih mampu meneruskan perjuangannya. Tak tahulah atas dasar apa? Mungkin kerana dia benar-benar ingin kelihatan pulih seperti biasa atau hanya kerana kasihankan Putri...” Putrisya menyambung cerita diselangi dengan isakannya.

Danial begitu tekun mendengar cerita Putri. Tidak sangka begitu sekali pengalaman ‘Amira’ yang dikenalinya.

“Dalam masa tu... dia begitu sensitif, Dani. Mungkin dia rasa dirinya masih belum pulih secukupnya kerana harus sering membuat pemeriksaan doktor. Sakit kepalanya perlukan perhatian yang lebih. Selagi itulah dia rasa dirinya menjadi beban pada ibunya dan Putri...” Putrisya meneruskan cerita. Kepalanya tunduk sahaja. Sedihnya masih terasa.

“Tapi keadaannya tidak lama.. dua tahun sahaja dia mampu bertahan...”

Danial melihat Putrisya mengesat airmatanya yang hampir menitis lagi. Danial mengeluh perlahan. Masih ada soalan yang belum terjawap.

“Ya.. kita tak boleh tolak segala kemungkinan. Semuanya kalau dengan izin Allah, perkara pelik mungkin boleh terjadi. Tapi.. apa kena mengena dia dengan Dani? Kenapa dia mesti ganggu Dani dan seboleh-boleh nak jadikan Dani ni sahabatnya?”

* * * * *

IMBASAN 2003

MENDENGAR bunyi sesuatu di belakangnya, Aisha cepat-cepat menutup attachment yang dia buka tadi dan mengembalikan page inbox pada skrin komputer Putrisya.

Putrisya masuk semula dengan menatang dulang berisi cawan teh dan sepiring kuih talam yang dibuat oleh ibunya pagi tadi. Dia lihat Aisha sedang membelek telefon bimbit.

“Jemputlah Sha, takda apa-apalah...” Katanya sambil meletakkan juadah di atas meja komputer.

Aisha membantu mengalihkan kertas-kertas dan fail yang ada agar ruang lebih luas.

“Orang melayu ginilah. Ada pun kata takda.” Dia ketawa dengan kata-katanya sendiri.

Putrisya tersenyum sama.

“Hidup mesti nak merendah selalu. Di situ orang pandang tingginya peribadi kita. Kalau sentiasa nak meninggi saja... orang akan nampak betapa rendahnya harga diri kita.”

Aisha menggeleng mendengarnya. Bukan kerana tidak membenarkan kata-kata sahabatnya, tetapi kerana kagum dengan kepintaran Putrisya membalas kata-katanya tadi. Pantas dan terang.

“Ada aje... suruh jadi lowyer tak nak... nak jadi penulis pula.”

Putrisya faham Aisha hanya menyindir gurau dengannya.

“Dalam penulisan aku dah buat macam-macam jenis pekerjaan pun, Sha. Aku yang mengarang, jadi apa jenis pekerjaan pun aku boleh pilih untuk watak-watak aku.”

Akhirnya mereka sama-sama ketawa. Lupa pada topik sensitif mereka sebelum itu.

Putrisya kembali menghadap komputer. Tujuannya hendak sign out Hotmail messenger. Aisha hanya memerhatikan kelakuan Putrisya. Bimbang pencerobohannya tadi diketahui oleh Putrisya. Tetapi wajah Putrisya nampak tenang sahaja.

Telefon bimbitnya disimpan ke dalam handbag.

“Putri...” Panggil Aisha.

“Humm?” Putrisya hanya menjawap ringkas tanpa menoleh.

“Kau dah berbaik dengan... Dani?” Aisha sengaja menduga.

Tiada rona kejutan pada wajah Putrisya. Malah dia menjawap dengan gelengan.

“Kau tak nak cuba berbaik dengannya?” Tanya Aisha lagi.

Putrisya mengeluh perlahan. Dia duduk berpaling menghadap Aisha pula.

“Aku hanya mencuba tapi aku tak pandai nak mendesak, Sha. Terpulanglah pada dia. Lagipun memang silap aku juga.”

“Kalau dah tahu silap, minta maaflah...”

“Kau fikir aku ni jenis orang yang suka meyimpan sesuatu lama-lama, Sha? Apa lagi sesuatu yang aku sendiri melakukan kesilapan. Berkal-kali aku cuba minta maaf... dah aku kata aku hanya mencuba, tapi tak kuasa nak mendesak.”

Aisha terdiam pada kebenaran. Putrisya yang dikenalinya memang gadis yang mudah minta maaf walaupun kesilapan itu bukan darinya.

“Kalau diberi peluang, kau mahu berhubung kembali dengan dia?”

Putrisya termenung sejenak sebelum menjawap.

“Untuk kembali berkawan... Insya-Allah. Tapi kalau untuk menjalinkan hubungan macam dulu... Mungkin kena tunggu hatiku benar-benar bersedia untuk berjumpa dia. Sebab aku tak mahu buat dia rasa kecewa lagi.” Jujurnya Putrisya menjawap.

Aisha menyepi selepas itu. Seolah-olah memikir sesuatu.

“Jangan fikirkan masalah aku, Sha. Yang penting selagi ada hayat ku, aku lebih suka menemani kau.” Kata Putrisya seakan tahu apa yang sedang difikirkan sahabatnya.

“Aku bahgia lihat kau bahgia, Putri. Tu yang aku nak lihat sebelum... er... selama aku masih ada.”

Putrisya mengerut dahi mendengarnya. Pandangannya tepat ke anak mata Aisha. Aisha segera menukar topik.

“Err... Apanya yang ada pada Dani yang buat kau tak boleh lupakan dia?”

Putrisya menunduk. Mungkin sedang berfikir.

“Entahlah...,” jawapnya. Kemudian bibirnya mengukir senyuman. “Renungan matanya barangkali.”

Putrisya membayangkan wajah seseorang diruang matanya. Sedang merenung dan menghayalkan. Hanya itu sahaja yang mampu di kenang. Kerana yang lainnya, dia sendiri tidak mampu.

Aisha turut membayangkan seseorang dengan renungannya. Sudah lama dia tidak direnung oleh mata itu. Tapi baru sebentar tadi, dia nampak pandangan yang sama dari mata orang yang berbeza. Dia kembali rindu dengan seseorang.

“Tak mahu ke kau kenal kan aku dengannya, Putri. Tak kan dengan sahabat kau pun nak rahsia. Nak juga aku tengok macammana renungan matanya?”

Tiba-tiba wajah Aisha berubah mendung. Putrisya tidak menyedarinya.

“Macammana aku nak kenalkan, aku sendiri belum cukup mengenalinya.” Jawap Putrisya sambil tersenyum. Tetapi senyumannya segera hilang di balik mendungnya wajah sahabatnya.

“Kenapa, Sha? Aku... aku menyinggungkan hati kau ke?” Pantas dia bertanya.

Aisha menggelengkan. Cuba mengukir senyuman kembali. Tetapi begitu hambar.

“Aku rindukan renungan mata dia, Putri... Aku rindu pandangan mata Yudy..,” ungkapan terluah bersama getaran suara. “Mungkin Yudy dan Dani punya keindahan mata yang sama... sebab tu kita sama-sama tidak dapat melupakannya.”

“Shh... sudahlah, Sha. Jangan diingat lagi...” Pujuk Putrisya. Mereka saling berdakapan.

Aisha mendakap erat sahabatnya. Mungkin kerana ingin menyedapkan hatinya sendiri. Terasa bersalah membuka e-mel Putrisya tanpa keizinan. Tetapi kalau lah Putrisya tahu... Renungan mata dari gambar yang dilihatnya tadi benar-benar membuat hatinya berbunga kembali.

* * * * *
p/s Jalan cerita ini memang sedari awal berbalik2. tapi bagi memudahkan untuk memahami jalan cerita ini, pembaca harus take note dengan perubahan tahun yg tertera. Ok.. dah terbongkar.. nanti2 Lily sambung lagi k.. :)
Salam Sayang
~Putri Lily~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana membaca entri ini dan meninggalkan komenter anda. Komenter anda sangat dialu-alukan dan dihargai.

Terima kasih sekali lagi.

Salam Sayang
~Putri Lily~