Jumaat, Mac 04, 2011

AKU ADALAH AKU

Lega rasanya apabila semua ahli keluarga sudah keluar. Serasa jantungku kembali bernafas dengan normal. Yang tadinya begitu sesak bersama beban fikiran. Begitu banyak perkara-perkara yang menggasak minda, minta difikirkan dari mana harus dimulai dan yang mana perlu didahulukan. Kesemuanya harus dilakukan dengan pantas. Alhamdullillah tugasan awal pagi sempurna sudah.Yang bekerja, sudah ke pejabat. Yang menuntut, sudah ke sekolah.


Sepeninggalan mereka, aku ligat melakukan rutin harian. Membasuh pakaian, mengemas rumah dan menyediakan juadah tengahari. Tetapi pagi tadi, Darish berpesan tidak payah masak. Aku menurut sahaja. Bercuti dari melakukan tugas yang menjadi rutin harianku bukanlah membanggakan. Namun sesekali minda ini perlu direhatkan daripada memikirkan menu harian. Mungkinkah ini juga dihadapi oleh semua suri dan pembantu rumah? Eh! Kenapa pembantu rumah pula yang aku fkirkan?


Biasanya selepas zuhur aku akan buru-buru ke bilik kerja untuk meneruskan tugas sampinganku bagi menambah mata pencarian keluarga. Dengan kemahiran dan sijil yang aku ada, sebenarnya aku mampu untuk membuka butik sendiri yang sederhana. Tambahan pula ada sokongan dan dorongan keluarga. Namun aku lebih suka berkerjaya di rumah sendiri.


Kebetulan Darish membeli rumah yang cukup luas. Dia sendiri yang mereka bentuk dalamannya. Sesuai dengan tugasnya sebagai seorang akitek. Sebuah bilik memang disediakan khusus untuk aku melakukan pekerjaanku. Biar nampak sederhana, begitu pun pelanggan-pelangganku sudah cukup ramai terdiri dari saudara mara dan sahabat taulan. Sehingga tidak menang tangan aku melayannya.


Entah kenapa tengahari ini aku berasa cukup malas untuk memulakan tugas itu seperti selalu. Lelah menghadap benda yang sama hari-hari. Sementara nenanti ke waktu petang untuk menyambut kepulangan mereka, aku memanfaatkan masa senggangku dengan bermalas-malasan di ruang tamu. Tiba-tiba sebuah album lama di sudut pustaka menarik perhatian. Aku mengambil dan meletaknya ke riba. Sudah lama tidak menjengah memori silam. Meneroka alam kenangan. Terselak sahaja kulit album, gambar seorang jejaka mampu menggamit senyuman.


Jejaka yang begitu dekat di hatiku. Berambut pendek ala militari. Wajahnya bujur dan berhidung mancung. Matanya sedikit sepet. Sekali pandang macam campuran Melayu dan Cina. Tambahan pula dengan kulitnya yang cerah. Dalam foto tersebut, dia segak berposing menggayakan kaca mata hitam. Warna baju yang dipakainya membuat aku teringat waktu mula-mula kami bertemu.

* * *
Suria menyelak langsir jendela. Cuba mengenal pasti lelaki yang berdiri di luar rumah. Lelaki yang berkemeja biru muda kelihatan begitu kemas dan bergaya. Suria tidak mengenalinya. Tetapi lelaki itu memanggil nama seseorang yang dia kenali. Mungkin lelaki itu kawan Syamil.


“Ya?” Itu sahaja yang ditanya Suria sebaik sahaja pintu dibuka. Rasa segan menyelubungi diri apabila lelaki yang tinggi lampai berkulit cerah; lebih kacak dari jangkaan, begitu galak memandang wajahnya. Mungkin dirinya sedang dinilaikan.


Mendadak Suria terpandang t-shirt lusuh yang tersarung di tubuhnya. Dikenakan bersama kain batik yang dipotong dan dijahit menjadi seluar tiga suku. Ah! Malunya dia dengan keadaan dirinya saat itu.


“Syam ada?” Teragak-agak lelaki itu bertanya. Cuba mengenal pasti dengan siapa dia bersoal jawab. Namun bibirnya ramah dengan senyuman.


Suria hanya menggeleng. Entah kenapa lidahnya kelu. Mulutnya berat untuk berkata lanjut. Walaupun lelaki itu kelihatan tenang tetapi sorotan matanya sukar ditafsirkan. Ada seperti mengajuk, ada seperti menyindir. Sehingga tanpa sedar Suria menyembunyikan sebahagian tubuhnya di balik daun pintu. Jika dia punya kuasa pasti dia akan mengghaibkan diri dari penglihatan lelaki itu.


“Kalau begitu saya ninggalin aja barang ini di sini. Pesan buatnya, nelpon saya jika udah pulang, ya?” Lelaki itu memutuskan setelah pasti dia bukan berhadapan dengan gadis tempatan.

Satu sampul surat berukuran 9 x 3 inci dihulurkan. Suria menyambutnya lambat-lambat dengan kening terangkat. Lelaki itu bercakap dalam lenggok asing. Awal tadi cakapnya macam orang Melayu sahaja.


Apabila tidak ada jawapan, lelaki itu mengucapkan terima kasih dan mahu berlalu.


“Maaf... Kamu bukan orang sini ya?” Suria memberanikan diri bertanya. Juga menggunakan lenggok yang sama memikirkan kemungkinan lelaki itu bukan orang tempatan. Hilang seketika rasa malu. Dia perlu tahu nama lelaki itu supaya senang menyampaikan pesan kepada Syamil.


Lelaki tadi tergelak kecil. “Nggak ah. Saja bicara begitu supaya kamu lebih bisa ngerti.”


Tambah berkerut dahi Suria. Dia memang sudah mengerti kini. Tiba-tiba hatinya rasa sakit sekali.

* * *
Walau masih berbekas rasa sakit hati, aku masih boleh tersenyum mengenangkan. Aku membelek laman album di sebelahnya. Foto aku bersama seorang wanita yang manis tersenyum dengan wajah bahagianya. Sememangnya gambar itu dipetik di saat-saat bahagia Norlia melangsungkan hari persandingannya.


Mataku terpandang bunga tangan yang dipegang oleh Norlia. Segera fikiranku tertangkap pada satu memori. Ah! Bunga tangan itu pun ada ceritanya juga.

* * *
Setelah dijerit bertalu-talu, akhirnya Suria bergerak ke kedai bunga di pasar yang berhampiran dengan rumah. Geram berbuku di hatinya mengenangkan perbuatan Syamil. Lelaki itu yang beria-ia mahu membantu Norlia. Akhirnya dia pula yang disuruh pergi menempah bunga.


“Ala Su kan perempuan. Pencinta bunga lagi. Tentu lebih tahu memilih yang mana sesuai untuk bunga tangan.” Itu alasan Syamil.

“Habis Norlia tu bukan perempuan. Sepatutnya dia yang kena buat tempahan sendiri. Kalau tak pun biar keluarganya yang uruskan.” Suria tidak berpuas hati. Syamil melakukan begitu kononnya sebagai hadiah kepada pengantin perempuan.


Syamil menolak lembut bahu Suria agar segera menuruti permintaannya. “Dah, dah... Tak nak jadi macam bibik, kan? Sekarang pergi cepat. Jangan lupa cari bunga yang warnanya serasi dengan semua pakaian okey,” pesan Syamil tanpa memperdulikan jelingan Suria. Dia tahu Suria tidak suka bila diusik begitu.


“Kalau cerewet sangat pergi tempah sendiri!” Syamil hanya tersenyum mendengar bebelan Suria. Walaupun mulutnya membebel tetapi Syamil tahu Suria tidak pernah menghampakannya.


Seorang wanita cina menyambut kedatangan Suria. Suria hanya mengangguk. Matanya liar memerhatikan bunga-bunga segar di kedai itu. Kemudian Suria meminta untuk melihat katalog bunga tangan.


Setelah selesai membuat pilihan dan tempahan, selamba sahaja jurujual itu bertanya. “Untuk memnya ya? Atau untuk kamu sendiri?” Bukan soalan itu yang membuat Suria berasa sakit hati dengan tiba-tiba, tetapi dari gaya bahasa yang digunakan. Bukan bahasa yang biasa digunakan di negeri itu.


Geram punya pasal Suria membiarkan Syamil mengambil tempahan bunga tangan itu sendiri mengikut tarikh yang ditetapkan. Tidak sudi Suria memandang wajah jurujual itu lagi. Syamil ketawa besar ketika cerita itu sampai ke telinganya.


* * *
Gelak tawa Syamil sudah terjangkit pada diriku kini. Tidak mampu menahan geli saat terkenang kenangan itu. Ketika menyelak lagi album lama itu, terpandang foto aku sendiri. Aku masih ingat lagi foto itu dipetik saat aku sedang marah menceritakan kepadanya kejadian sebelum kami bertemu. Kawanku memetiknya diluar pengetahuanku. Aku tidak pernah lupa apa sebenarnya yang membuat aku marah sangat pada hari itu.

* * *
Suria sudah terlewat 10 minit. Tini sudah pasti sedang menunggunya. Ah! Tini okeylah orangnya. Dia jenis yang tidak kisah. Pujuk hati Suria sendiri. Lagi pula dia sudah keluar awal tadi. Bas sahaja yang lambat tiba.


Setiba sahaja bas di distinasinya, Suria membuka langkah panjang. Tujuannya mahu segera ke tempat perjanjian. Tetapi satu suara halus menyerunya dari belakang.


Seorang wanita bertubuh kecil sedang separuh berlari menghampirinya. Kalau tidak silap wanita itu turut menaiki bas yang sama tadi.


“Aduh! Ribut bangat kamu jalan. Nih mau nanya, kamu dari Surabaya ya? Kamu kenal ama Tantik nggak yang sama kerjanya di sini?”


Terangkat kening Suria mendengar mulut celupar wanita yang sedang termengah-mengah di hadapannya. Sudahlah dia terlewat, di tahan pula dengan pertanyaan begitu. Merah mukanya menahan marah.


“Saya tak kenal. Lain kali kalau mahu tanya, lihat dulu IC saya,” marah Suria. Kemudian dia berlari meninggalkan tempat itu. Tercengang wanita itu memandangnya.

* * *
Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku koyakkan foto itu ketika kawanku menyerahkan kepadaku. Mereka galak mengusik dan berkeras meminta aku menyimpannya sebagai kenangan. Syamil pula sudah menyusunnya ke dalam album. Aku malas mahu terus-terusan bertelagah.


Dalam laman album yang sama aku melirik pula foto seorang kanak-kanak berusia 4 tahun. Cute dan manja. Biasanya akulah yang ditugaskan untuk mengambil anak itu pulang dari childcare, jika ibu bapanya terpaksa pulang kerja lewat senja. Hai anak, di pusat penjagaan kamu pun ada cerita juga.

* * *
Dari jauh sudah kelihatan Syalia melonjak riang di sisi Puan Hamidah, seorang penyelia childcare. Suria melambai dan mempercepatkan langkah.


“Kenapa bibik lambat?” Panjang pula muncungnya. Tadi okey sahaja.


“Maaflah. Sekali ni saja lambat.” Suria mencuit muncung Syalia dan tersenyum memandang Puan Hamidah. Dia menghulur sesuatu.


“Ini nanti berikan pada majikan kamu ya. Minta mereka tanda tangan borang itu dan kembalikan esok pada saya.”


Segera hilang senyuman di bibir Suria. Bukan pertama kali Suria ke pusat penjagaan itu. Mendengar nada bicara yang serupa. Gaya soalan yang seiras. Juga sangkaan yang sama. Tetapi ini memang pertama kali Suria diajak berbual oleh Puan Hamidah. Tidak pula Suria menyangka selama ini wanita lewat 30-an itu juga punya pandangan yang sama seperti mereka, tentang dirinya.


Setelah menyambut borang itu, Suria memimpin Syalia dan berlalu. Entah kenapa hatinya sedih teramat sangat. Nyilu rasa ulu hati dibuatnya. Suria memandang wajah Syalia. ‘Apakah tidak ada sedikit pun mirip wajah itu pada wajahku? Apakah aku hanya sesuai untuk menjadi ‘bibik’ sebenar pada anak itu?’


Dalam Suira berfikir, dia ditegur oleh seseorang yang berjalan dari arah bertentangan. Seorang pembantu dari negara jiran yang juga datang untuk mengambil anak majikannya.


“Eh! Kamu belum pulang kampung ya? Bila pulangnya?”


Rasa sedih bertambah pedih. Hatinya bagai sengaja disiat-siat sehingga nyilu terasa naik ke kepala. Pening memikirkan semua orang yang sembarangan sahaja membuat telahan hanya dengan melihat wajahnya.

* * *
Aku menyeka airmata di hujung mata yang keluar tanpa aku sedari. Kemudian aku menyelak lelaman album berikutnya. Gambar lama tetapi masih terjaga. Seperti terjaganya hubungan mereka sehingga kini. Foto dua orang lelaki sedang ketawa ketika gambar itu dipetik. Entah apa yang mereka ketawakan. Tetapi kelihatannya mereka begitu ceria. Syamil dan Darish.


Aku diminta untuk merakamkan foto mereka ketika majlis perkahwinan di rumah keluargaku. Saat itulah Syamil mengenalkan aku pada Darish.

* * *
“Huh! Nur Suria ini adik kamu, Syam? Anak jati negeri ini dan penuntut jurusan Fashion Garment and Designer? Tapi...”


Suria selamba sahaja menyelak rambutnya ke belakang. Dia tahu Darish sedang merenungnya. Ada sedikit bangga diri menyinggah di hati. Sebentar tadi selepas Syamil mengenalkan mereka, jelas ada rasa terkejut dan tidak percaya di wajah Darish.


Tidak terdengar apa jawapan Syamil. Tetapi terdengar gelak yang menggamatkan suasana.


“Amboi pengantin! Seronok sangat ke sampai besar gelaknya?” laung Mak Long dari jauh. Syamil menutup mulutnya dengan telapak tangan. Kemudian menyambung tawa apabila berpandangan dengan Darish.


Entah apa yang lucu pada mereka, tidak Suria ketahui. Apa yang dia sedari di sepanjang majlis itu, Darish akan tersenyum bersama pandangan yang redup ketika mereka berselisih pandang. Dan Suria pasti tersipu-sipu.


Semenjak itu Suria dan Darish menjadi teman tetapi mesra. Darish mohon maaf kerana tersilap menyangka Suria adalah pembantu rumah keluarga Syamil pada awal pertemuan mereka. Bukan cuma Darish, malah siapa-siapa pun yang belum mengenali Suria, pasti akan menyangka yang sama.


Suria pernah berdiri di hadapan cermin memerhati diri sendiri. Cuba mencari sesuatu yang begitu ketara pada dirinya yang kelihatan sama seperti pembantu-pembantu rumah dari negara lain. Apakah kerana warna kulitnya yang sowo matang? Atau kerana mukanya yang bujur sireh serta dagunya yang runcing? Atau mungkin kerana tulang pipinya yang agak menonjol? Lebih-lebih lagi apabila dia sedang tersenyum atau ketawa. Pernah ditanya kepada ibunya. Kata ibu...


“Ayah kan orang Jawa. Jadi anak-anaknya tentu lebih mewarisi wajah Jawa.”


“Kalau anak-anak banyak ikut sebelah ayah, Syamil pun anak ayah, kenapa dia tak dikata seperti itu, bu?” Suria tidak berpuas hati dengan jawapan ibu.


“Abang banyak ikut sebelah ibu. Melayu jati. Suria yang terlebih-lebih ikut ayah. Anak ayahlah katakan,” usik ibu. “Apa salahnya mereka kata Suria orang seberang. Orang sanakan cantik-cantik.”

Sebenarnya Suria tidak kisah dirinya dikaitkan dengan orang negara manapun. Namanya tetap juga manusia. Tetapi janganlah menyangka apabila seseorang yang dari negara lain datang dan tinggal di sini hanya disebabkan bekerja dengan gelaran pembantu rumah sahaja. Ramai juga pekerja asing yang ke sini dengan jawatan yang malah lebih tinggi. Apakah wajah ini kelihatannya hanya layak sebagai pembantu rumah sahaja?


Ayah pula menyarankan agar Suria mengubah cara berpakaian dan dandanan. Tetapi Suria menyangkal usul tersebut. Gadis lain pun bert-shirt sahaja. Itu juga yang Suria selesa. Lebih santai. Tambahan pula dia tidak betah berdandan keterlaluan. Akhirnya Mak Long pula membuat kesimpulan.


“Ala Indon pun Indonlah Suria. Dah memang kamu tu anak Jawa nak buat macammana. Kalau dianggap sebagai amah pun, kerja tu bukannya haram. Kalau bukan jadi amah di rumah majikan pun, satu hari nanti kamu tetap jadi ‘amah’ untuk uruskan rumah sendiri.”


“Tapikan Mak Long, amah yang ini bukan sembarangan orang tau. Tauliahnya lebih dari seorang pembantu. Bertuahkan seorang fashion designer bakal dipinang oleh seorang arkitek jutawan,” tokok Syamil sambil mengenyit mata. Seisi keluarga mentertawakan Suria.

* * *
Bunyi enjin kereta di hadapan rumah memutuskan kenangan silam. Pantas sekali masa berlalu. Tidak mungkin hari sudah menginjak petang. Atau memang dia pulang awal? Aku menyimpan album dan bergegas membuka pintu. Serentak dengan itu bunyi suara ramai-ramai orang menyanyi.


“Selamat ulang tahun... Selamat ulang tahun... Selamat ulang tahun Suria. Selamat ulang tahun.”


Aku menutup mulutku yang terbuka. Sesak nafasku melawan perasaan gembira. Aku tidak mampu berkata-kata. Begitu terharu dengan kejutan yang kuterima. Apatah lagi melihat kehadiran semua.


Suamiku, Darish mengucup ubun-ubunku. Anakku, Farin yang berusia 6 tahun erat memeluk punggungku. Syamil dan Norlia serta anak mereka, Syalia yang sudah berusia 8 tahun turut memberi senyuman. Di tangan mereka sarat dengan beg plastik. Seketika kemudian muncul pula ibu, ayah dan juga Mak Long di belakang mereka. Semuanya berpakat untuk memberi kejutan pada tengahari itu.


Rupanya Darish sudah menempah berbagai juadah untuk kami semua. Juga kek hari jadi dan hadiah istimewa untukku.


“Hari istimewa sayang, tak boleh buat kerja lebih-lebih. Selama ni kesian sayang penat menguruskan rumah dan jaga makan pakai abang dengan Farin.”


“Kan betul Mak Long kata, dah jadi ‘amah’ kat rumah sendiri,” usik Syamil.


“Saya nak carikan pembantu rumah, Suria tak mahu.”


“Bukan tak mahu, Darish. Suria takut nanti orang tak kenal yang mana satu mem yang mana satu pembantu.” Semuanya ketawa membenarkan seloroh Norlia. Aku juga turut tersenyum. Yelah, seperti kata Mak Long, kalau dah anak Jawa nak buat macammana, kan? Hakikatnya aku adalah aku.

T A M A T

p/s Semoga terhibur dengan karya terkini yang tidak seberapa ini. Maaf kerana lama menyepi.
 
Salam Sayang
~Putri Lily~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana membaca entri ini dan meninggalkan komenter anda. Komenter anda sangat dialu-alukan dan dihargai.

Terima kasih sekali lagi.

Salam Sayang
~Putri Lily~