Khamis, Ogos 06, 2009

CERPEN DIA RUPANYA

Assalamu'alaikum pengunjung,
Terlebih dahulu lily mohon maaf kerana tak sempat masukkan entry terbaru di blog ni. Mungkin akan aktif selepas hari raya nanti, insya-Allah.

Namun dalam kesibukan teringin juga lily berkongsi kegembiraan ini. Cerpen Dia rupanya adalah karya ringkas lily yg pertama yg digarap secara langsung dan bersahaja. Idea datang ketika lily sedang online di salah sebuah lelaman di Singapura sambil mendengar rancangan Misteri Jam 12 di Station Radio Ria.

Apa yg dikatakan secara langsung dan bersahaja ialah, lily menaib idea itu secara langsung di ruangan forum dalam sudut Karyawan Kreatif di lelaman itu. Tidak menerusi Microsoft Word seperti biasa. Apabila komentar yg lily terima begitu menggalakkan, baru lily salin dan save menggunakan Microsoft Word.

Dan kini cerpen itu membawa tuah kepada lily kerana memenangi peraduan anjuran AVA meskipun bnyk kesilapan. Alhamdulillah... terima kasih.

Di sini lily paparkan cerpen itu sekali lagi dlm bentuk edisi terbaru setelah diedit penceritaannya dengan tunjuk ajar dan teguran Saudara Khar. (AVA)

Salam Sayang
~Putri Lily~

______________________________________________________

DIA RUPANYA
Oleh Putri Lily





Badan sudah terasa lenguh. Pedih di pinggang sudah mula menyengat dan rasa ngilu menggigit-gigit. Namun minat untuk terus berkomunikasi masih menggebu. Sedang mataku merenung nama-nama samaran yang terpapar di skrin komputer, tiba-tiba
aku terlihat satu nama yang unik. ‘Alam Maya’... Itulah nama yang dipakai oleh penggunanya.

Alam Maya hanya memberi kata salam sebagai memulakan 'perbualannya'. Aku menjawab dan menunggu jika ada lagi ayat yang ditaipnya tetapi hampa. Entah kenapa aku terlalu memikirkan dia. Walhal biasanya aku tidak kisah siapa pun jua nama samaran yang terpapar. Tetapi kali ini lain sekali perasaanku.

Lelah menanti, aku mengambil keputusan untuk menutup paparan chatting. Seperti biasa aku menaip salam perpisahan. Mataku yang hampir layu tiba-tiba segar kembali bila terbaca salam balasan dari Alam Maya.

Alam Maya, “Wa'alaikumsalam PL. Saya nantikan kemunculan PL esok malam.”


Aku tidak pasti perasaan apakah yang sedang aku rasa saat itu. Alam Maya menanti kemunculanku? Pelik tetapi sempat juga aku membalas mesejnya.


“Insya-Allah Alam Maya.”


Sebelum menutup paparan aku menjenguk profil Alam Maya. Tidak banyak butir-butir keterangan mengenai dirinya. Tetapi aku tahu Alam Maya seorang jejaka.


Keesokan harinya aku membuka paparan lagi. Lebih awal dari semalam. Tetapi sehingga jam 11.45 malam, Alam Maya belum juga muncul. Bila aku ingat kembali, semalam pun dia muncul sekitar 12.30 tengah malam. Hmm... mungkin sebentar lagi dia pasti buka paparannya. Aku menyabarkan diri. Tetapi sehingga ke pukul 1.00 pagi, nama samaran yang aku nanti tidak juga timbul. Tiba-tiba aku mengenali erti hampa.


Baru sahaja berkira-kira untuk menutup paparan, tiba-tiba aku mendapat mesej peribadi. Alam Maya! Dia menghantar mesej peribadi. Rupanya dia sudah buka paparannya sedari tadi tetapi tidak berkomunikasi di skrin utama. Sekadar memerhatikan ayat-ayat pengguna lain termasuk diriku.


“Awak chatter baru dekat sini? Saya macam baru perasan nama samaran awak.” Aku memulakan perbualan. Dalam hati tidak sabar menanti jawapannya.


Alam Maya menjawab, “Tak juga... Dah lama saya perhatikan awak.”


“Perhatikan saya untuk apa?”


“Sesaja... saya suka cara awak berkomunikasi dengan chatter lain. Sopan...” balas Alam Maya. Mataku masih tertancap di paparan skrin komputer yang kadang kala agak menyilaukan kiranya terlalu lama menghadapnya.


Tidak sangka selama ini diriku menjadi perhatian seseorang. Sedang aku memikirkan jawapan untuk membalas mesejnya, aku cuba mengingatkan kembali 'perbualan'ku yang sudah-sudah bersama pengguna lain. Takut jika ada yang keterlaluan. Malu juga rasanya.


“Kenapa senyap? Awak masih di sana?


Aku tersenyum dengan mesej terkininya. “Saya tak tahu nak kata apa.”


“Tak perlu kata apa-apa. Taip saja... “


Aku hanya ketawa, perkataan ‘hahaha’ aku taip.


“Saya nak kenal awak dengan lebih rapat lagi. Awak sudi tak?” Tiba-tiba sahaja Alam Maya melontarkan hasratnya.


“Tak ada apa yang istimewa tentang saya. Tapi kalau awak sudi nak kenal apa salahnya,” balasku teruja.


Semenjak itu aku dan Alam Maya menjadi kawan rapat. Sejauh ini perhubungan kami hanya melalui alam siber. Dia memang berbeza dari kenalan aku yang lain. Dia tidak bertanya hal-hal peribadiku sehingga aku sendiri segan untuk bertanya hal-hal peribadinya. Tidak pernah sekali dia meminta untuk berhubungan di telefon. Apalagi untuk bertemu. Aku mengikut sahaja caranya walaupun jauh di sudut hati ingin sekali aku mengenalinya lebih dari itu.


Satu malam Alam Maya mengatakan satu hal yang membuat hatiku melonjak keriangan.


“Awak tak rasa ingin bertemu dengan saya?”


Kalau Alam Maya berada di hadapanku, pasti dia nampak pipiku memerah kerana malu. Bukan malu apa, dia seakan dapat membaca apa yang bermain di fikiranku. Aku mencari alasan sebagai mengelak untuk menjawab. Sebenarnya tidak tahu jawapan apa yang patut aku beri.


“Kalau saya tanya awak balik, awak tak teringin nak bertemu dengan saya?” Ikon :) aku letakkan di hujung ayat.


Alam Maya juga menjawab dengan ikon. :)


Hanya ikon senyum. Kemudian Alam Maya terus senyap. Salahkah aku bertanya?


“Awak marah? Kenapa senyap?”


Lama kemudian baru dia membalas.


Tak... cuma saya sedang fikirkan masa dan tempat yang sesuai untuk pertemuan kita nanti,” jawab Alam Maya.


Ya Tuhan! Romantik sungguh kedengarannya. Hatiku berlonjak kegirangan. Tetapi seketika kemudian aku gelisah. Apa yang menjadi fikiran, bagaimana nanti bila pertemuan itu terjadi? Kacakkah dia? Aku takut jika dia lebih kacak dari yang aku bayangkan. Mahukah pemuda kacak berkawan dengan aku yang serba kekurangan ini?


Hmm... awak pula yang diam. Tak suka nak berjumpa dengan saya?”


Eh! Tak... err maksud saya suka... eh...” Pantas jariku menari di atas papan kekunci. Sebenarnya aku sedikit gugup.


Tak apa. Nanti kita rancangkan lagi. Buat masa ini saya sayangkan cara perhubungan yang macam ini. Rasanya tanpa bertemu muka, perhubungan kita akan lebih lama terjalin.”


Pelik bila aku fikirkan maksud kata-kata Alam Maya. Pelik juga dengan sikapnya. Tetapi ada juga kebenaran pada kata-katanya itu. Tentu benar apa yang bermain di fikiranku, takut dia tidak mahu berkawan dengan aku lagi setelah pertemuan pertama. Atau nanti tentu perhubungan seterusnya di ruang siber, tidak semesra pada awalnya. Mungkin juga.


Akhirnya harapan tinggal begitu sahaja. Dari hari ke hari hubungan kami kian mesra. Rancangan untuk bertemu tidak pula diulang menyebutnya. Aku keliru namun membiarkan sahaja. Hingga pada satu hari...


Setelah hampir satu bulan satu minggu usia perkenalan kami, aku merasa kelainan pada 'bicara-bicara' Alam Maya. Dia tidak seperti di awal perkenalan yang begitu ramah dan lucu. Dalam seminggu terakhir 'perbualan' aku bersamanya, Alam Maya begitu sensitif. Dia kerap melakarkan bait-bait kata yang berunsur kesedihan, kehilangan dan perpisahan. Mengapa?


Awak kenapa ni? Lain sekali sikap awak kebelakangan ni?” Dengan hati-hati aku melontarkan pertanyaan. Meskipun hanya di paparan skrin tetapi ianya amat berlainan. Perhubungan terjalin dengan cara yang pelik, tetapi di zaman ini ianya perkara biasa.


“Tak ada apa-apa. Saya macam biasa saja.” Aku membaca aksara yang tertera. Ada kelainan dalam nadanya.


“Awak tak sama macam yang saya kenal sebulan lalu. Kalau boleh saya mengagak... awak sedang patah hatikah?”


“Maaflah kalau awak terkesan dengan kelainan saya. Sebenarnya saya nak undang awak.”


Kata-katanya terputus di situ, membuat aku resah menanti. Tidak pula aku mahu bertanya selanjutnya. Bukan apa, bila terbaca perkataan undang, aku seperti tahu sendiri. Tidak perlu dia meneruskan aku sudah pasti mungkin dia mahu mengundangku ke majlis pertunangan atau perkahwinannya. Ya Tuhan! Dugaan apakah ini? Baru sahaja kemesraan ingin berputik di hati, aku sudah terasa jauh kehilangan.


“Awak, kenapa awak senyap? Awak baca mesej saya tak?”


Lama selepas itu baru aku membalas.


“Ya saya baca... dan sedang menunggu apakah seterusnya.”


“Sebenarnya saya nak undang awak datang ke rumah saya. Tapi sebelum itu saya nak tanya satu perkara.”


“Apa dia?” Hati aku berdebar tiba-tiba.


“Awak pernah mengalami suasana perpisahan dengan seseorang?”


Aku sudah mengagak apa yang ada di fikiran ku sudah pasti itu yang dia maksudkan. Entah kenapa aku rasa marah dengan tiba-tiba. Geram dengan sikapnya yang seakan-akan mempermainkan perasaanku. Sengaja melengah-lengahkan 'kata'.


“Awak jangan cakap berbelit-belitlah. Cakap saja terus terang yang awak akan berkahwin. Awak nak undang saya ke majlis awak kan? Awak nak tinggalkan saya kan?” Aku sudah tidak dapat menyembunyikan perasaan amarahku. Semuanya sudah aku luahkan. Namun dalam kemarahan aku menangis. Alam Maya mungkin tidak nampak airmataku berlinang ketika aku menaip ayat itu. Tetapi rupanya aku silap.


“Awak jangan menangis sekarang... Belum masanya. Saya tahu siapa pun akan sedih pada perpisahan. Tapi awak kena terima hakikat bahawa semua perkara berlawanan. Bertemu dan berpisah... Yang hidup pasti mati... Kalau macam ni saya tak jadilah nak undang awak.”


Eloklah tu..! Tak payah undang tapi dah bagitahu. Lepas ini tentu saya jadi penunggu setia kemunculan awak di ruang chat ni. Sementara awak menghilang terus, kan?” Api amarahku menyala-nyala.


“Kenapa awak marah sangat ni? kenapa awak menangis? Patutnya saya yang lebih marah dan sedih. Marah pada diri saya sendiri sebab mengenalkan diri pada awak dan sedih sebab... tak dapat bersama dengan awak.”


Di akhir katanya Alam Maya mengeluh berat. Aku terpujuk dengan kesayuan ayatnya. Lama kami berdiam. Masing-masing sedang melayan perasaan. Mungkin dia sudah dapat menjangka perasaan sebenarku kepadanya. Apakah dia juga berperasaan sepertiku?


Sebelum mengakhiri 'perbualan' Alam Maya meminta maaf atas semua kesilapannya dan berharap sangat akan kehadiranku pada hujung minggu nanti. Dia memberi alamat rumahnya.


“Awak boleh bersedih tapi selepas awak datang ke rumah saya nanti. Itulah hari pertemuan kita yang saya dah rancang. Awak nak jumpa dengan saya, kan? Kalau awak bersedih sekarang, mungkin akan jadi penghalang untuk awak datang dan saya yang akan bersedih sebab awak tak datang jumpa saya. Awak datang okey... tolonglah...”


Awak sedih sekejap saja... Lepas itu tentu awak berbahagia.” Sempat aku menyindir.


Alam Maya terus menghantar mesejnya melalui paparan skrin yang memutih. “Ya... sudah tentu saya bahagia selepas bertemu dengan awak. Jadi tolong bahagiakan saya dengan kehadiran awak, okey.”


Tidak sangka dia membalas sindiranku dengan 'kata-kata' yang semakin mengguris perasaan. Kemudian Alam Maya terus memberi salam perpisahan sejurus sebelum dia menutup paparannya. Aku terpaku di hadapan skrin komputer sambil merenung alamat rumah Alam Maya. Beginikah akhirnya perkenalan kami?


Hari minggu yang dinantikan pun tiba. Tidak dinyatakan pula pukul berapa majlis bermula. Tentu sama seperti majlis-majlis perkahwinan biasa.


Aku masih berkira-kira untuk pergi atau sebaliknya. Seperti ada yang buat aku terkilan dengan undangan Alam Maya. Dia memang sangat berbeza. Sukar dibaca rentak hatinya. Apakah dia tidak perasan selama ini dia seolah-olah memberi harapan dan akhirnya dia yang menghancurkan. Atau aku sajakah yang berperasaan sedangkan dia memang ikhlas hanya mahu berkawan dengan aku?


Andai benar itu undangan perkahwinannya, tentulah perancangan itu sudah dibuat awal-awal lagi. Mustahil dalam tempoh sebulan tujuh hari baru dia menyedari yang dia akan menjadi suami orang. Mengapa dalam masa itu dia menanti kemunculanku setiap malam di ruang siber? Cara dia mengundang juga sukar ditebak maksudnya. Mengapa tidak dia yang meminta alamat rumahku supaya kad undangan itu diposkan sahaja?


Mengapa itu dan mengapa ini, membuat aku mengambil keputusan untuk pergi supaya aku dapat jawapan bagi setiap persoalanku.


Tiba di sana suasana di bawah bloknya sunyi sekali. Di mana pula majlis diadakan? Tetapi mengikut alamat yang diberi memang benarlah aku sedang berada di bawah bloknya. Puas berpusing aku mengambil keputusan untuk naik kerumahnya.


Setiba di hadapan rumahnya, aku terpaku melihat suasana hiruk pikuk. Ada beberapa orang sedang bergotong royong memasak di koridor rumah itu. Hairan bermukim di hati. Majlis sederhana sahajakah ini?


Sedang aku terpinga-pinga tiba-tiba satu suara menegur.


"Cari siapa kak?"


"Er..." Aku terkejut tetapi sempat membalas senyuman manis seorang gadis belasan tahun di hadapanku.


"Maaf saya bertanya ini majlis apa, dik?" soalku.


Gadis itu memandangku dengan dahi berkerut. Kehairanan barangkali. Tetapi aku sendiri tidak kurang rasa hairan.


"Ini majlis... kenduri tahlil arwah abang saya yang ke empat puluh hari, kak."


Masya-Allah! Tidak tahu apa yang terjadi selepas itu. Sesedarnya aku sudah berada di dalam rumah Alam Maya dengan dikelilingi ahli keluarganya. Daripada mereka aku mendapat tahu kenduri tahlilnya akan bermula selepas Maghrib nanti. Gadis tadi, adik Alam Maya meminta aku menunggu sehingga habis kenduri nanti.


Menyampaikan ke waktu itu, aku dapat mengenali diri Alam Maya sebenarnya melalui cerita-cerita adiknya. Aku dapat melihat wajah Alam Maya melalui potret-potretnya. Dia memang kacak. Jauh lebih kacak dari yang aku bayangkan. Sayangnya dalam usia yang masih muda Alam Maya sudah kembali ke rahmatullah kerana terlibat dengan kemalangan motosikal semasa pulang dari Internet Cafe.


"Abang memang kerap ke sana sejak dia melihat nama kakak dalam ruang siber. Dia selalu cerita kepada saya tentang 'perbualan' kakak bersama teman chatter. Abang kata dari 'kata-kata' gurauan dan 'nasihat-nasihat' kakak, abang dapat mengagak bagaimana keperibadian kakak. Abang berharap sangat dapat bertemu dengan kakak satu hari nanti. Tapi... "


Aku turut menangis bersama adik Alam maya. Segala persoalanku sudah terjawab. Rupanya selama ini aku 'berbicara' dengan roh. Patutlah nama samarannya pun aneh. Patutlah Alam Maya payah untuk bertemu. Patutlah puitisnya sayu-sayu. Patutlah dia memintaku supaya jangan bersedih dahulu. Patutlah dia berharap sangat kehadiranku di rumahnya. Apa benarkah dia bahagia setelah bertemu aku dengan cara begini?


Dengan rasa keinsafan aku menadah tangan membaca al-Fatehah dan mendokan kesejahteraannya.


"Semoga kamu di tempatkan di sisi orang-orang yang beriman, Nizam Bahrin... Amin Ya Rabbal Alamin."


Hari-hari sesudah itu berlalu begitu sepi. Aku masih belum dapat menerima hakikat bahawa aku kehilangan seorang teman siber, yang sememangnya tidak ada di alam maya ini. Kerana itulah setiap malam aku masih buka talian dan menanti kemunculan nama samarannya. Namun penantianku sia-sia. Puitis perpisahan yang pernah dilakarnya benar-benar ditujukan buatku.


Hingga detik ini selagi aku belum dapat mengembalikan diriku sendiri, selagi itulah nama samaran PL tidak akan terlihat di ruang siber seperti selalu.


TAMAT

8 ulasan:

  1. salam putri lily..
    sy hampir2 menangis membaca cerpen ni..x sangka akhirnya org yg sedang dia nantikan itu adalah nyawa di alam lain..
    terharu saat mengetahui 'alam maya' adalah roh yg berchatting ngan watak utama..persahabatan yg tjalin dgn cara baik, insyaAllah akn berkekalan lama..
    tahniah..!

    BalasPadam
  2. Salam kembali bidadari cinta,

    Tak usah ckp pembaca lain, lily sendiri setiap kali membaca setiap kali itu lily menangis. Seolah ianya benar2 terjadi dlm hidup lily. Padahal tidak sama sekali. Kerana itu saya tak ragu2 memilih cerpen ini utk dipertandingkan.

    Terima kasih kerana berkunjung ke sini dan membacanya. :)

    ~Putri Lily~

    BalasPadam
  3. cubaan lily dlm mghasilkn cerpen ni sgt mgkagumkan sy..hope tak sia2kan bakat yg ada..

    BalasPadam
  4. Terima kasih bidadari cinta. lily Lily cuba walau bakat lily mungkin belum sehebat bakat bidadari.. :)

    ~Putri Lily~

    BalasPadam
  5. salam sobat
    wah cerpen bagus sekali LILY..
    selamat ya ,,,dan sukses selalu.
    saya ikut bangga dengan karya LILY.

    BalasPadam
  6. Salam buat mu juga sahabat,

    Terima kasih kerana turut membaca karya lily. Doa kwn2 adalah semangat lily utk berkarya lagi. Terima kasih ye. :)

    BalasPadam
  7. alololo....
    cian nye..
    nape mati awal..
    huhuhuhu....
    ngeri plak chatting ngan roh ni...
    ngee~~~

    BalasPadam
  8. Salam Ain.. so jaga2 kalau berchatting k.. takut berkomunikasi dgn roh pulak.. hehe

    Terima kaish kerana singgah ke sini dan membaca.

    ~Putri Lily~

    BalasPadam

Terima kasih kerana membaca entri ini dan meninggalkan komenter anda. Komenter anda sangat dialu-alukan dan dihargai.

Terima kasih sekali lagi.

Salam Sayang
~Putri Lily~