Khamis, April 23, 2009

SIAPA AMIRA 8

JANUARY 2007

PUTRISYA mengalihkan pandangannya ke lain. Matanya terasa penat kerana lama memandang skrin komputer. Kalau sudah asyik menaib, dia boleh tahan berlama di hadapan komputer tanpa memikirkan kesihatannya. Apabila Putrisya menggeliat, baru pinggangnya terasa sakit.

Dia bediri dan menuju ke tingkap. Merehatkan mata dengan memandang suasana malam. Angin malam menyapa wajahnya. Terasa dingin sekali.

Deringan telefon bimbitnya mengganggu ketenteraman. Dengan malas Putrisya mencapai telefonnya. Sambil kembali ke sisi tingkap, dia menekan butang answer tanpa melihat nombornya terlebih dahulu.

“Assalamualaikum...”

Bagai terhenti degupan jantung Putrisya apabila mendengar suara di hujung talian. Tidak tersambut rasa salam yang diberi. Matanya terpejam menahan getaran di dadanya. Angin malam yang dirasakan dingin sebentar tadi bertambah dingin mencengkam jiwanya. Lantas dia menggigil. Entah kerana kedinginan atau kerana debaran?

“Assalamua'laikum... Putri ke tu?” Suara di hujung talian bergema lagi.

Tidak terasa ada air hangat yang mengalir dari celahan mata Putrisya yang tertutup itu. Lebih-lebih lagi apabila suara itu memanggilnya dengan panggilan Putri.

Seingat Putrisya selain sahabatnya, Aisha yang memanggilnya dengan panggilan itu, memang ada seorang lagi yang dikenalinya, turut gemar memanggilnya dengan nama yang sama. Tetapi itu lama dahulu. Kenyataannya sekarang panggilan serupa itu kedengaran lagi dari suara orang yang sama.

“Tak sudi ke nak menjawap? Maaflah kalau mengganggu...”

Putrisya dikejutkan dari hayalan. Lekas-lekas dia menghapuskan airmatanya sebelum menjawap.

“Wa'alaikumsalam...”

Kedengaran satu keluhan di hujung sana. Mungkin lega apabila salamnya sudah bersambut.

“Masih ingat lagi tak?”

Putrisya tersenyum mendengar soalan pemanggil itu.

“Siapa yang boleh lupa dengan... Encik Danial Imani...”

Bergetar suara Putrisya menyebut nama itu. Nama seorang pemuda yang pernah bertapa di hatinya satu ketika dahulu. Dan masih kekal di hatinya hingga saat ini, andainya Danial tahu.

Di hujung sana, Danial seakan mendengar getaran pada nada suara Putrisya. Dia faham apa yang Putrisya rasa saat ini. Keraguannya terhadap penerimaan Putrisya atas percubaannya untuk menelefon, silap sama sekali. Ternyata Putrisya tetap sama seperti yang dia kenali dahulu. Lembut dan tenang menerimanya setelah apa yang dia lakukan terhadap gadis itu selama ini.

“Dani tak tahu pengucapan apa lagi yang sesuai untuk digantikan, selain kekata maaf. Rasanya Putri dah jemu dengar kata maaf tu kan...? Kalau ada kekata lain yang lebih sesuai, itulah yang ingin Dani minta dari Putri... Maafkan Dani...”

Di situlah letaknya kelemahan Putrisya. Biar ditinggal pergi beberapa kali oleh orang yang sama, namun Putrisya tidak mampu berbohong pada diri sendiri bahawa dia juga mengharapkan Danial kembali lagi.

“Putri yang seharusnya minta maaf pada Dani. Kerana sekian lama kita kenal, Putri masih lagi belum berjaya memahami kehendak Dani...”

Itulah sifat Putrisya yang sangat Danial kagumi. Sentiasa mencari kekurangan diri sendiri bagi menutup keaiban orang lain. Sifat itulah yang menjerat hati lelakinya dari berpaling pada gadis lain. Walau pernah cuma sementara, pada Putrisya juga dia berbalik akhirnya.

“Jangan kata begitu, Putri. Dani berterima kasih kalau Putri dapat terima Dani semula.. Walaupun hanya sebagai sahabat pada Putri.”

Benarkah kata hatinya sama seperti yang terluah? Danial mungkin mengharapkan kemesraan yang seperti dahulu. Namun dia tidak mahu memaksa Putrisya untuk kali ini. Cukuplah selama ini dia menderita memendam perasaan akibat perbuatannya sendiri meninggalkan Putrisya dahulu. Rindunya pada Putrisya tidak dapat ditahan lagi.

Sebenarnya sudah berapa kali Danial memikirkan cara terbaik untuk menghubungi Putrisya. Takut sekiranya dia tidak diterima lagi. Rindu yang membangkitkan semangatnya untuk mencuba. Percubaannya tidak sia-sia. Rupanya memujuk Putrisya tidaklah sesusah yang disangka. Gadis itu masih pemaaf seperti dahulu.

Namun jauh di sudut hati Danial, ada satu perkara yang perlu diselesaikan terhadap gadis itu. Buat masa ini Danial perlu bersabar kerana perhubungannya dengan Putrisya masih di tahap awal sebuah perdamaian. Sebolehnya Danial tidak mahu melukakan hati Putrisya lagi.

Kedengarannya seperti ada kejujuran pada kata-kata Danial. Apakah kerana memang Danial benar-benar rasa rindu dan ingin berbaik semula dengan Putrisya? Atau kemunculan dan pemergian Amira menjadi penyebab?

* * * * *

SUDAH seminggu mereka berhubungan kembali. Tetapi masih melalui telefon. Danial tidak mahu memaksa lagi untuk bertemu. Biarlah sehingga Putrisya sendiri yang bersuara.

Untuk itu Danial masih mampu bersabar. Yang menjadi fikirannya sekarang ialah, bagaimana dia ingin memulakan agendanya. Agar terjawap semua persoalan.

Penat memikir akhinya dia bertekad untuk bertanya.

“Putri ada kawan rapat tak?”

“Hmm.. semuannya rapat. Kenapa?”

“Maksud Dani, sahabat karib?

Kedengaran Putrisya tergelak mesra.

“Kawan rapat dengan sahabat karib tu, tak sama ke?” Masih disertakan dengan tawanya.

“Orang tanya betul-betul. Gelak pula dia. Gigit baru tau eh..” Danial mengusik pula. Senang mendengar Putrisya ketawa.

Mendengar tidak ada jawapan, Danial segera bersuara lagi.

“Sorry kalau Putri tersinggung...” Bimbang kalau Putrisya tidak dapat terima gurauannya. Danial mengerti sangat dengan sikap gadis itu. Gadis melayu yang cukup bersopan.

“Hmm... pertanyaan Putri tadi tu... sebenarnya kalau pada Dani, kawan dan sahabat tu berbeza. Kalau kawan macam biasa-biasa aje. Tapi kalau sahabat karib tu... seseorang yang boleh berkongsi apa saja dan boleh kita jadikan tempat mengadu. Tak semua kawan yang sanggup jadi pendengar...” Terang Danial.

Lama Putrisya berdiam. Baru selepas itu dia bersuara. Lemah sahaja kedengarannya tetapi cukup tegas.

“Bagi Putri lain pula. Putri letakkan kawan dan sahabat di kedudukan yang sama rata. Sesiapa pun yang Putri kenal, seboleh-bolehnya Putri nak jadikan mereka kawan atau sahabat yang paling rapat. Tak kisahlah mereka sudi ke tak mendengar masaalah Putri. Rasanya... untuk selesaikan masaalah sendiri, Putri tak perlu sesiapa untuk jadi pendengar.”

Aduh..! kenapa Danial boleh lupa satu perkara tentang Putrisya? Sememangnya gadis itu cukup perahsia orangnya. Kalau ada masaalah pun Putrisya tidak mudah untuk menceritakan pada sesiapa. Sehinggakan Danial sendiri pernah terfikir agaknya mungkin Putrisya tidak pernah bermasaalah.

“Kalau gitu Dani pun nak jadi sahabat baik Putri lah.. So boleh tumpang sebilik.” Danial mengusik lagi.

Putrisya turut sama ketawa tetapi diselitkan dengan pertanyaan.

“Apa Dani cakap ni?”

“Sorrylah Dani gurau aje... Sebab kalau Dani lah, hanya kawan yang betul-betul rapat aje yang Dani boleh ajak masuk sampai ke bilik Dani. Err... maksud Dani kawan lelaki eh. Jadi bila Putri kata Putri letak kedudukan kawan-kawan Putri di tempat yang sama taraf, so tak kira lelaki ke perempuan ke, semua Putri ajak masuk bilik lah?”

Terdengar Putrisya ketawa lagi. Kata-kata Danial begitu lucu baginya. Langsung tidak menyedari kalau Danial sedang menduganya.

“Putri berkawan ada had-hadnya, Dani. Kalau yang Putri sayang pun susah nak Putri jumpa, apalagi setakat kawan. Tak kan lah sampai nak bawa masuk bilik?”

Danial terdiam mendengarnya. Ada sesuatu yang menarik didengar dari bait-bait kata Putrisya. Putrisya juga serta-merta menyepi. Tiada lagi sisa-sisa tawanya yang tadi begitu galak. Mungkin baru tersedar dengan apa yang baru diluahkan.

“Putri...” Panggil Danial dengan lembut.

Panggilan yang mengingatkan kembali kenangan Putrisya saat mereka berdua di alam percintaan dahulu. Namun lekas-lekas Putrisya mengikis ingatan itu. Dia melepaskan keluhan.

“Apa yang sebenarnya Dani nak tahu dari Putri?”

Danial yang tadi seperti kehilangan kata, terkejut mendengar pertanyaan Putrisya. Apakah Putrisya tahu persoalannya sekarang? Jika benar tidak guna Danial bertangguh-tangguh lagi.

“Putri kenal dengan.. Amira?”

Danial sepatutnya memenuhi permintaan Amira yang memintanya untuk merahsiakan perkenalan mereka dari pengetahuan Putrisya. Tetapi tidak dihiraukan kerana seingat Danial, dia tidak pernah berjanji. Lagi pula dia perlu tahu siapa gadis misteri yang mengganggunya.

“Siapa Amira? Tanya Putrisya kehairanan.

“Putri tak ada kawan nama Amira?” Ulang Danial dengan suara yang lebih tegas.

“Hm... Amira? Rasanya tak ada. Dia kawan baru Dani ke?” Kembali Putrisya bertanya.

“Hairan... dia kata dia kenal dengan Putri.” Danial sengaja tidak mahu menjawap pertanyaan Putrisya. Itu yang membuatkan Putrisya bertanya lagi.

“Amira tu kawan baru Dani ke?”

Cemburu ke atau marah? Entah apakah perasaan Putrisya ketika bertanya soalan itu, tidak siapa pun tahu. Tetapi ketenangan jelas pada nada suaranya. Membuat Danial semakin mendesak untuk mengetahui.

“Dani yang bertanya dulu kan?” Tegas sekali suara Danial menahan marah. Dia sendiri sedar yang dia sudah meninggikan suara. Mungkin kerana Amira sudah dianggap pengganggu hidupnya, maka bila ungkit kisah Amira, tiba-tiba sahaja dia jadi peradang. Ataukah kerana benar andaiannya bahawa Putrisya adalah penyamar. Dari itu timbul kemarahannya bila mendengar Putrisya bertanya demikian.

“Dah Putri jawap tadi, Putri takda kawan nama Amira?” Perlahan sahaja jawapan Putrisya. Masih tetap sama. Hanya dia tidak lagi mahu bertanya. Hairan dengan perubahan sikap Danial.

‘Tentulah takda kalau memang kamu sendiri yang menyamar jadi Amira!!’ Bentak Danial dalam hati. Tetapi tidak diluahkan. Sebaliknya dia bertanya.

“Kalau gitu tentu Putri ada kawan yang tinggal kat Jurong, kan?”

Terdengar keluhan Putrisya.

“Jurong tu besar, Dani. Jurong East? Jurong West? Jurong Point.. Tuas tu semua kawasan Jurong....”

What everlah..!” Danial memotong percakapan Putrisya.

Biar Cuma dua sebutan sudah cukup buat Putrisya terdiam. Sedar bahawa Danial memang sedang marah. Dia masih belum lupa pada satu-satunya perangai Danial. Kalau sudah berbual menggunakan bahasa English, apalagi maknanya jika bukan marah.

Putrisya sedaya upaya untuk bertenang. Seperti sudah menjadi kebiasaan baginya berdepan dengan Danial dalam keadaan itu. Kalau api tentulah air lawannya.

“Kalau pun Putri ada kawan yang tinggal di Jurong, tapi bukan Amira namanya.”

Mendengar Putrisya bersuara setenang itu, timbul keinsafan pada Danial. Untuk mencari kebenaran dia tidak seharusnya terlalu emosional.

“Kalau pertanyaan tak ketemu jawapan, yang baiknya mulakan dengan bercerita. Cuba Dani ceritakan pada Putri apa yang sebenarnya terjadi?”

Kedengarannya jujur sekali Putrisya bertanya. Danial kebingungan. Sudah kebetulan cerita ini dimulakan. Apa salahnya jika dia membentangkan semuanya pada Putrisya.

* * * * *
p/s Akhirnya.. tapi apa pula kata pendapat Putrisya? Sabar menanti sambungannya ya. Teruskan membaca. :)
Salam Sayang
~Putri Lily~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana membaca entri ini dan meninggalkan komenter anda. Komenter anda sangat dialu-alukan dan dihargai.

Terima kasih sekali lagi.

Salam Sayang
~Putri Lily~