DANIAL baru lepas beriadah di Sembawang Park. Dia bergerak perlahan menuju ke tempat keretanya diparkir. Sambil itu dia membelek telefon bimbitnya dan mencari nama Putrisya. Tidak berapa saat lepas itu kedengaran suara halus memberi salam di hujung talian. Danial tersenyum menyambutnya.
“Wa’alaikumsalam. Baru bangun ke?” Sengaja Danial mengusik padahal dia tahu Putrisya tidak mungkin bangun lewat.
“Tak lah...” balas Putrisya sambil ketawa.
Suaranya Putrisya begitu manja di pendengaran Danial. Semakin teruja Danial mahu mengusiknya.
“Hmm.. kalau begitu mungkin sedang baring-baring dan teringatkan Dani?”
Semakin gelak kedengaran Putrisya ketawa.
“Putri baru habis online dengan kawan tadi,” terang Putrisya seakan tidak mahu Danial terus menerus dengan usikan yang begitu.
“Ya lah..
siapalah Dani kan? Mana ada orang yang nak ingat dan fikirkan Dani lagi.” Pura-pura merajuk. Sengaja mahu dengar tindak balas gadis itu. Dia membuka pintu kereta, menghidupkan enjin dan menikmati keselesaan penghawa dingin.
“Janganlah cakap macam tu Dani. Kalau ada yang mengingati pun bukan Dani tahu, kan? Dani kat mana ni?” tanya Putrisya sebab terdengar kesak-kesuk atas perbuatan Danial tadi.
“Sekarang dalam kereta. Baru habis joging,” jawap Danial bersahaja. Masih dengan sisa-sisa rajuk guraunya.
“Erm... ada yang perlu Putri bantu ke awal pagi begini?”
Danial tersenyum mendengar suara lembut memujuk itu. Tidak mahu terus mengusik, Danial mula menyuarakan tujuan asalnya.
“Pagi minggu yang cerah ni, kan best kalau kita dapat breakfast bersama?”
“Hmm... ini suggestion atau invitation?”
“Hmm... kalau dua-dua sekali, suka tak?”
“Suka... tapi... Sebenarnya Putri dah janji nak jumpa kawan sekejap lagi.”
Danial mengeluh hampa. Kiranya dia terlewat. Siapakah kawan yang dimaksudkan Putrisya yang berjaya mendahuluinya? Bagaimanapun Danial rasa terpujuk apabila Putrisya berjanji akan keluar makan malam bersamanya.
* * * * *
RAHAYU menanggalkan cerminmata hitam yang dipakai. Ditenggekkan di atas kepala. Seorang pelayan datang menyampaikan menu. Tetapi ditolak oleh Rahayu yang cuma mahu memesan segelas air limau sahaja.
Matanya menikmati pemandangan di sekitar ruang makan di Hawa Baru Muslim Restaurant yang terletak di Changi Road. Tiba-tiba matanya terpandang ke satu sudut lat beberapa meja di hadapannya. Kelihatan sepasang muda mudi sedang berselera menjamu makanan. Nampak begitu mesra sekali.
Rahayu tersenyum lebar. Di fikirannya mula merangka satu rancangan. Dia mengeluarkan telefon bimbit model Nokia 8801. Cuba mencari fokus yang betul ke arah pasangan tadi. Ketika gambar dirakamkan, pasangan itu sedang bergelak ketawa. Entah apa yang mereka bualkan sehingga tidak sedar mereka diperhatikan.
“Ketawalah sepuas-puas hati. Esok-esok tahulah nasib kau, perempuan!” Rahayu juga ketawa sinis.
Ketika minuman yang dipesan sudah tiba, Rahayu hanya meneguknya sedikit sahaja. Kemudian dia bangun untuk membuat pembayaran di kaunter. Ketika itu dia rasa seperti kakinya tersandung sesuatu menyebabkan dia hampir tersungkur. Mujur ada meja di hadapannya untuk dia berpaut.
Keriuhan itu membuat mata semua pengunjung restoran tertumpu ke arahnya. Termasuk pasangan tadi. Jelas ada perubahan pada wajah wanita itu sebaik sahaja mengenali Rahayu.
Rahayu tidak memperdulikan pandangan wanita itu. Dia menoleh ke bawah meja untuk melihat apa yang menyebabkan dia tersandung. Tetapi tidak kelihatan apa-apa. Dia rasa cukup malu dengan insiden tadi. Bergegas dia menuju ke kaunter. Sekali lagi dia terkejut apabila dirasakan seperti hembusan angin yang entah dari mana singgah laju ke tepi telinganya. Terkejut bukan kepalang. Segera dia meninggalkan restoran itu setelah membayar harga minuman.
* * * * *
DANIAL keluar semula setelah membersihkan diri. Dia tetap akan makan di luar walaupun tanpa teman. Kali ini dia sedang ada mood untuk pergi ke tempat yang agak jauh dari rumahnya. Tujuannya ke Hawa Muslim Restaurant.
Sesampai di tempat meletak kereta, terhenti pergerakan Danial untuk memberhentikan enjin apabila ternampak kelibat seseorang yang sangat dikenali sedang berjalan perlahan-lahan melintasi keretanya. Siapa pula lelaki di sebelah gadis itu? Dari jauh Danial memerhatikan dengan jelas tingkah dua manusia itu.
Kelihatannya gadis itu mengambil sesuatu dari dalam sebuah kereta dan menyerahkan kepada lelaki tersebut. Fail kuning! Lelaki itu pula kemudiannya menyelak seketika fail yang diserahkan kemudian menganggukkan kepala sambil tersenyum. Dan senyuman balasan dari gadis itu pula.. Ya ampun! Terbit perasaan cemburu di hati Danial.
“Patutlah dia tolak pelawaan aku tadi. Ini rupanya kawan yang dia nak jumpa? Istimewa sangat ke lelaki tu?” bisik Danial sendirian.
Hilang sudah mood dia hendak menjamu selera di restoran itu. Sebaik sahaja pasangan tadi hilang dengan kereta masing-masing, Danial juga memandu pulang dengan hati yang kosong.
Seperti yang dijanjikan, mereka berdua keluar makan pada malam harinya. Kalau turutkan hati mahu sahaja Danial mogokkan diri. Tetapi tidak pula dia mahu bersikap seperti budak-budak. Lebih-lebih lagi apabila sikap ramah Putrisya langsung tidak berkurangan. Atau mungkin Putrisya berpura-pura? Danial tidak mahu tersilap membuat kesimpulan lagi. Kebetulan ada perkara yang lebih penting mahu diluahkan pada Putrisya. Apasalahnya dia menjadi orang yang betul-betul dewasa saat itu.
Dalam banyak perkara yang mereka perbualkan, Danial teringin sekali bertanya mengenai lelaki yang bersama Putrisya siang tadi. Tetapi hatinya berbelah bagi.
“Dani sebenarnya ada hal nak cakap dengan Putri.”
“Hmm.. penting sangat kedengarannya.”
“Memang penting. Ia membabitkan masa depan,” jelas Danial sambil memerhatikan riak wajah Putrisya. Jelas menunjukkan perubahan. Terkejut atau tidak suka?
Putrisya meletakkan sudu dan garpu perlahan-lahan di atas pinggan makannya. Dia menggesat hujung bibir dengan napkin. Penuh tertib dan sopan sekali perbuatannya. Langsung tiada cacat cela. Danial semakin kagum dengan gadis itu.
“Cakaplah. Putri sedia mendengar.”
“Tapi sebelum tu Dani nak tanya sikit.”
Putrisya hanya memberi isyarat menyuruh Danial menyambung kata.
“Putri... hmm... selama kita berpisah sedikit masa dulu, Putri dah jumpa kenalan baru ke?” Teragak-agak soalan itu ditanya. Takut menyinggung hati gadis itu.
Tetapi Putrisya hanya membalas dengan tersenyum. Matanya tidak pula berani memandang Danial. Malu jika Danial dapat membaca rahsia hatinya. Dia sudah dapat meneka ke mana tujuan soalan itu. Sebab itu debaran kian kencang dirasakan. Hanya sahaja Putrisya masih kelihatan tenang.
“Dani tahulah senyuman Putri tu memikat. Tapi jawaplah.. janganlah senyum je,” usik Danial. Padahal dia senang sekali dengan senyuman itu.
“Kalau kenalan baru memanglah ada. Tapi apa kena mengena dengan masa depan yang Dani nak cakap?”
Jawapan yang membuat Danial keresahan. Dia memberanikan diri memegang jejari Putrisya. Agak terperanjat juga gadis itu. Tetapi tidak pula dia membantah. Sambil mengurut perlahan jejari itu, Danial meluahkan.
“Kerana masa depan yang Dani maksudkan itu adalah..”
“Hello!”
Kedua mereka berpaling apabila mendengar suara yang tiba-tiba mencelah. Putrisya cepat-cepat menarik jarinya dari genggaman Danial. Sementara Danial mengeluh geram memandang manusia yang berdiri di hadapan meja mereka.
“Ops! Sorry. I mengganggu ke?” Tanpa rasa malu wanita tinggi lampai itu menarik sebuah kerusi kosong dan duduk hampir sekali di sisi Danial. Matanya menjeling Putrisya sambil tersenyum sinis.
Danial kurang selesa dengan kelakuan wanita itu. Sementara Putrisya pura-pura menyambung makannya. Tidak sedikit pun dia rasa tercabar. Sedangkan dia sudah dapat meneka apa muslihat wanita yang sama dilihatnya di Hawa Baru Muslim Restaurant siang tadi.
“Kenapa you suka ikut ke mana kami pergi hah, Rahayu!?” Danial bertanya tegas.
“No! Bukan ‘kami’ atau you all, but only you, Dani. I called banyak kali kenapa you tak jawap?
“Atas urusan apalagi you nak cari I? Enough lah okey.. I lemas you tahu tak?”
“Excuse me...” Suara Putrisya mencelah dari ketegangan Danial dan Rahayu, “Sorry, to the ladies...” Ucapannya lebih tertuju buat Danial untuk memberitahu kepergiannya.
Danial tersenyum dan menggangguk. Tetapi dia tahu itu hanya alasan Putrisya untuk mengurangkan rasa terganggu dengan kemunculan Rahayu.
“Pergilah... tak balik sini lagi pun tak apa...”
“Ayu! Don’t too much eh! She is my girlfriend,” bantah Danial.
“Ye lah... at night your girlfriend... Siang hari girlfriend lelaki lain...” Semakin berani Rahayu menyucukkan jarumnya.
“Excuse me...” Putrisya terus meninggalkan mereka berdua. Perasaannya semakin tidak menentu. Mungkin inilah waktunya dia mencari kejujuran Danial.
“What are you trying to say, Ayu!? Apa problem you sebenarnya ni?” Danial bertanya geram sambil menarik bahu Rahayu dengan kasar supaya menghadapnya.
“I just want to help you, Dani. Trust me. Dia cuma nak main-mainkan perasaan you.” Bersungguh-sungguh Rahayu menerangkan.
“Dia bukan perempuan macam you! Setelah I terkena dengan permainan you, I lebih bijak menilai yang mana kaca dan permata.”
“You boleh tengok sendiri bukti yang I ada. Waktu tu nanti baru you boleh buat pernilaian tentang permata you tu!”
Rahayu mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencari sesuatu di kotak galeri, kemudian menghantarnya ke telefon bimbit Danial. Tidak sampai berapa minit, kedengaran bunyi yang datang dari kocek seluar Danial.
“You boleh tengok dan nilaikan sendiri nanti!” Walaupun suaranya kedengaran tegas, tetapi riaksi tubuh Rahayu tetap lembut dan menggoda. Dia berkata sambil menarik kolar baju Danial hingga wajah Danial terdorong dekat dengan wajahnya.
Pantas Danial menepis tangan Rahayu sehingga terlepas kolar bajunya. Dia membetulkan letak pakaiannya. Matanya menjeling penuh benci. Rahayu berdiri sambil tersenyum kemenangan. Kemudian dia berlalu pergi setelah meninggalkan flying kiss. Danial menepuk meja dengan geram. ‘Berani betul perempuan yang satu ni,’ rungut Danial dalam hati. Dia kesal kerana rancangannya malam itu rosak kerana Rahayu.
Perjalanan menghantar Putrisya pulang betul-betul membosankan Danial. Dia sudah kehilangan mood. Lebih-lebih lagi apabila Putrisya mendiamkan diri. Tidak langsung mengungkit tentang kehadiran Rahayu atau paling-paling pun menuntut Danial menyambung cerita mereka yang tergantung. Sukar sekali menduga perasaan Putrisya atau membaca apa yang ada difikiran gadis itu. Wajahnya sentiasa kelihatan tenang seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi. Atau mungkin Putrisya tidak menganggap itu semua masalah baginya?
* * * * *
p/s Alhamdulillah dapat juga Lily postkan entry sambungan ni.. Harap pembaca terhibur dan selamat membaca. Nantikan sambungannya lagi k..:)
Salam Sayang
~Putri Lily~
salam ziarah..lama x nmpk putri lily kat penulisan..im a new blogger..
BalasPadamanyway..ur novel menarik lah
n tahniah coz novel perginya bersama cinta bakal diterbitkan!
Salam kembali,
BalasPadamTerima kasih keran membaca cerita lily.
Mmg dah lama tak hantar cerpen kat penulisan2u sebab belum ada cerpen baru. Tapi novel Siapa Amira tetap hantar ke sana. Masalahnya lambat sgt mereka paparkan. Entahlah..
~Putri Lily~
menariknya citer ni...
BalasPadamSlmt dtg dan slmt membaca ijad. Terima kasih kerana berkunjung ke sini.. :)
BalasPadam~Putri Lily~