“Nak buat apa dengan baju-baju lama ni, ibu?”
“Ibu nak pilih mana yang masih baik, nak hantar ke Masjid Istiqamah. Ada sukarelawan di situ yang memungut pakaian terpakai untuk didermakan kepada mereka yang kurang bernasib baik.”
Aku terkesan pandangan kakak yang duduk tidak berapa jauh dari kami. Mungkin kakak juga mendengar jawapan ibu. Pandangan kami bertaut. Saling mengerti bicara mata. Ya Allah, ibu tidak pernah berubah. Setiap tahun bila tiba Ramadhan...
pasti ada sahaja barang rumah yang diselongkar untuk didermakan.
pasti ada sahaja barang rumah yang diselongkar untuk didermakan.
Aku membantu melipat pakaian-pakaian yang sudah terpilih. Antara baju-baju yang bertimbun, aku terpandang pada dua pasang baju songket. Ada nostalgia di situ.
“Bukankah minggu lepas ibu dah dermakan sejumlah wang?” Bukan aku berkira sangat tetapi agak bimbang dengan sifat ibu yang terlalu dermawan.
“Wang, wang juga. Pakaian, pakaian juga Ina. Wang bagi mereka amat penting untuk membeli keperluan makanan saja. Supaya bertenaga untuk teruskan hidup. Mereka tak kan kisah dengan pakaian seharian. Kecuali jika mendapat pakaian yang diderma macam ni. Mereka tentunya lebih menghargai.”
Kakak sudah ikut duduk bersimpuh menyertai aku dan ibu. Matanya mencerlung kepadaku tanda peringatan agar berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan ibu.
“Banyak lagikah yang ibu nak pilih?” Soalan kakak lebih bertujuan untuk menceriakan kembali wajah ibu yang mula kelat sewaktu menjawab pertanyaanku tadi.
“Dah cukuplah ini semua. Inipun ibu pilih mana yang adik beradik kamu semua dah tak boleh pakai lagi. Semua masih baik lebih berfedah didermakan daripada terperuk saja dalam almari.” Ibu menolak semua pakaian-pakaian lama itu di hadapan aku dan kakak.
“Kamu berdua tolong ibu lipat dan masukkan baik-baik dalam beg ya. Ibu nak ke dapur untuk siapkan juadah berbuka.” Aku dan kakak tidak membantah. Hilang sahaja kelibat ibu, kami saling bertukar pandangan.
“Beruntung betul orang-orang miskin sekarang ya kak. Ada badan-badan persatuan yang memungut derma dan membahagikan kepada mereka.”
“Dunia dah bertambah maju, Ina. Rakyat semakin prihatin. Kalau tak kita sesama Islam, siapa lagi yang mahu membantu? Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ni. Tentu ramai yang ingin menambahkan amalan.”
“Kenapa masa zaman kita dulu, tak timbul sikap prihatin rakyat? Usah kata orang lain, keluarga sendiri segan nak membantu,” tungkasku yang sememangnya tidak berpuashati. Bukan kepada para dermawan bukan juga kepada badan-badan persatuan. Tetapi lebih kepada mereka yang hidup dalam kemiskinan.
Miskin yang bagaimanakah mereka jika masih mampu memiliki telefon bimbit? Masih duduk goyang kaki di rumah tanpa perlu bertungkus lumus. Sekadar mengharap bantuan setiap bulan. Yang kelihatan segar bugar tetapi duduk tepi masjid meminta sedekah. Apakah kerana adanya bantuan sedemikian, maka mereka dari golongan miskin tidak pernah memikirkan corak perubahan dengan usaha mereka sendiri?
“Jangan samakan zaman kita dulu. Mungkin dulu pun ada bantuan serupa itu. Cuma ayah saja yang tak tahu. Atau ayah tak tahu nak tuju kepada siapa untuk memohon.” Aku percaya kakak tak mungkin lupa pada keperitan kami tetapi mengapa kakak setenang itu?
“Kalau ayah tahu pun bukan ayah mahu, kak. Ina tahu sangat sikap ayah. Bukankah ayah yang ingatkan kita supaya jangan meminta-minta,” luahku dan tiba-tiba sebak mengenangkan ayah.
“Shh... Ina berhentilah fikir hal-hal lama tu. Kalau ibu dengar nanti...”
Kakak tidak jadi menyambung kata. Mungkin terlihat kesedihan di wajahku. Hati kami sama-sama dirundung haru. Bila fikirkan ibu ada benarnya peringatan kakak. Sedar akan perasaan ibu yang mudah sensitif bila timbul isu sebegini. Bahkan kami enam beradik turut sama merasakan. Yah... pengalaman hidup yang perit telah memberi kesedaran kepada kami sekeluarga dan amat bersyukur akan nikmat Allah.
* * *
“Ibu, Amin lapar...”
Ibu yang sedang terjenguk-jenguk ke luar koridor dari pintu rumah segera mendapatkan Amin. Anak bongsu yang baru berusia lima tahun itu di tarik ke ribaannya. Rengekan Amin mengujaku untuk turut bersuara hal yang sama. Perutku sedari tadi sudah mengeluarkan bunyi sehingga terasa sebu kemungkinan akibat sudah masuk angin.
“Sabar ya Amin. Sekejap saja lagi waktu untuk berbuka puasa. Nanti kita makan sama-sama,” pujuk ibu dengan nada yang sukar ditafsirkan.
“Oh belum boleh makan ya bu?” Tanya Amin seperti anak yang betul-betul lurus. Dakapan sayang dari ibu dapat juga memujuknya. Ibu sekadar mengangguk. Jam merah yang terlekat di dinding dilirik seketika. Sudah sepuluh minit berlalu.
“Kalau belum boleh makan kenapa kita dah minum tadi, bu?” Tiba-tiba Murni, adikku yang kedua baru berusia sembilan tahun mencelah. Dia sudah bersedia duduk menghadap meja makan bersama dengan Sarah, adikku yang ketiga. Di tangan Sarah tergenggam cawan plastik yang bersisa air putih.
Semua mata memandang Murni dengan rasa terkejut. Adikku yang satu itu memang terlalu banyak mulut. Pilunya hati melihat ibu dalam keadaan serba salah. Dalam kebuntuan memujuk Amin ibu tentu terlupa ketika azan berkumandang sebentar tadi, kami enam beradik sudah diberi minum air putih segelas seorang sebagai membatalkan puasa.
Tidak sanggup menentang renungan penuh mengharap daripada Murni, mata ibu beralih ke arah kami. Aku, kakak dan seorang lagi adikku ketika itu sedang duduk berderet di satu ceruk rumah setelah usai bersolat mahgrib. Ikin, kakakku sangat mengerti pandangan ibu. Gadis lima belas tahun itu bangkit dan pergi mendapatkan Murni yang masih menantikan jawapan ibu.
Seketika mataku bertemu dengan mata ibu. Mata yang terpancar kesedihan itu segera melenyapkan lapar yang kurasa sebentar tadi. Berlibang-libu jadinya perasaan ini. Antara simpati dan keinginan. Aku lihat ibu membuang pandangannya ke pintu rumah lagi. Ibu seperti kami semua juga, menanti kepulangan ayah yang berjanji akan pulang membawa makanan untuk mengisi perut kami sekeluarga malam ini.
* * *
Terputus niatku untuk mencapai ikan bilis goreng yang cuma tinggal sedikit di dalam piring. Zana, adik yang lahir dua tahun setelah kelahiranku sudah terlebih dahulu mengaupnya. Diikuti pula adik-adikku yang lain. Masing-masing tidak mahu ketinggalan berebut benda yang sedikit walhal di dalam pinggan masing-masing ada yang masih bersisa ikan yang sama.
Sebagai kakak yang kedua, aku terdidik untuk mendahulukan adik-adik dalam apa hal pun jua. Meskipun dalam usiaku yang baru menjejak tiga belas tahun, terkadang amat payah menahan sesuatu keinginan. Pun begitu aku lebih terpengaruh mengikut resa kak Ikin yang mudah mengalah.
Ibu memerhatikan satu persatu wajah anak-anaknya. Berpuashati melihat anak-anak berselera menghadap hidangan. Walaupun hanya berlaukkan ikan bilis goreng dan telur dadar yang sengaja digoreng tipis-tipis untuk mendapat saiz yang besar dan dibahagikan sama rata. Beserta kicap manis yang cukup popular bagi keluarga kami, hidangan berbuka puasa malam ini lebih sempurna berbanding malam sebelumnya.
Aku masih ingat waktu ayah pulang membawa makanan yang kami nantikan, masa berbuka puasa sudah hampir satu jam berlalu. Itupun atas ikhsan nenek sebelah ayah, membekalkan makanan yang tidak seberapa setelah ayah gagal meminjam wang dari adik-beradiknya untuk membeli juadah berbuka buat kami. Ah! Alangkah aib kedengarannya.
“Mana awak dapat duit beli telur dan ikan bilis ni?” Ayah bersuara setelah lelah dihimpit kesangsian. Tiba-tiba sahaja berlauk sedangkan semalam begitu kedananya keadaan.
“Saya baru terima upah jahitan dari kak Yah yang dua hari lepas sudah saya siapkan.”
Aku lihat ayah mengangguk lemah. Matanya lekat di pinggan. Tidak sanggup membalas pandang dengan wajah-wajah comel di hadapannya. Apalagi memandang wajah ibu yang sendu.
“Insya-Allah dua tiga hari nanti dapat gaji, abang ganti balik.” Ayah menyudahkan makanan dan segera berlalu sejurus selepas meneguk minuman.
Ayah kelihatan sangat tertekan. Mungkin kerana merasa dirinya tidak berupaya menyediakan perbelanjaan yang cukup tanpa perlu bantuan ibu. Bekerja sebagai pembersih bangunan di estet perumahan dengan pendapatan yang tidak mewah, manalah cukup untuk biaya semua keperluan rumah dan perbelanjaan keluarga seramai lapan orang. Tambahan lagi lima daripada kami sudah bersekolah. Kadang-kadang ayah memungut dan mengumpul barangan terpakai untuk dilelongkan secara longgok di Sungei Road pada hujung minggu.
Berbekalkan basikal tua yang juga hasil kutipan, ayah akan mengangkut barangan tersebut dan bersaing dengan ‘peniaga’ kecilan yang lain duduk berderet di sepanjang Sungei Road. Untung nasib jika tidak terserempak dengan ‘pegawai samun’, jolokan yang kami beri kepada pegawai pembasmi jual tanpa lesen. Apa tidaknya, semua barang jualan akan diangkut begitu sahaja. Siapa yang mahu barang mereka dipulangkan harus membayar saman. Begitulah cara ayah mencari rezeki lebih.
Nasib baik ibu punya kemahiran menjahit. Jiran-jiran terdekat yang banyak mengupah. Dari awal proses menjahit sehingga siap menjadi baju, ibu lakukan dengan menggunakan tangan sahaja. Ibu tidak mampu memiliki sebuah mesen jahit. Berlubang-lubang jari ibu akibat kerap tertusuk jarum. Namun jarang aku dengar ibu mengeluh. Ibu akan bersungguh-sungguh menyudahkan tempahan selekas mungkin. Kadang-kadang apabila aku terjaga mahu ke bilik air, aku lihat ibu tekun menjahit sehingga pukul 2.00 atau 3.00 pagi.
Aku tahu ibu lakukan semua itu kerana semangat untuk membantu meringankan beban ayah. Pun begitu bukan semua baju yang sudah disiapkan awal akan mendapat upah secepatnya. Maklum setiap orang tentu ada masalah kesempitan. Bab yang seumpama itulah ibu harus pasrah.
“Cepat selesaikan makan. Boleh kita berjemaah beramai-ramai.” Perlahan-lahan ibu bangkit meninggalkan kami bersama pesanannya. Ayah kulihat sudah berwuduk dan menanti kehadiran kami. Semenjak kecil lagi kami semua dididik agar berjemah beramai-ramai dan di imamkan oleh ayah. Kata ayah, susah bagaimanapun jangan ada alasan untuk bersujud syukur setiap kali tiba waktunya.
Kemudiannya baru ayah keluar berterawih di masjid berhampiran. Ah! Ayah, begitu besar tanggungjawab yang terpikul di bahumu. Tidak kurang juga ibu. Tabah sungguh jiwamu dan amat setia berada di sisi ayah mengharungi kesusahan bersama-sama.
* * *
Jeritan Murni berjaya memanggil seisi rumah keluar menghadapnya. Tertanya-tanya apakah agaknya cerita atau lebih bermaksud soalan yang akan keluar dari bibir kecil itu. Beg sekolah yang hampir hancur di campak ke tepi. Besar mata ibu memerhati tanda memprotes perbuatan itu. Kalau sudah koyak terus nanti, apa akan digantikan beg tersebut.
“Kata kawan-kawan Murni di sekolah, lagi tiga hari kita semua akan berhari raya. Betul ke ibu?” Ah! Anak. Apa lagi soalan lanjutan yang bakal timbul. Murni jenis orang yang tidak akan berpuashati jika jawapan yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Ibu mengangguk sambil tersenyum hambar.
Aku yang pulang sekolah bersama-sama dengan Murni lantas memberi arahan kepada Murni mengangkat beg dan masuk ke dalam bilik sebaik sahaja si comel itu mahu membuka mulut lagi. Dalam perjalanan dari sekolah tadi sahaja sudah riuh Murni bercerita tentang persiapan hari raya kawan-kawan sekelasnya. Kebetulan lalu pula di hadapan rumah Mak Cik Senah tadi, kami terhidu semaraknya bau inti kuih Tat.
Sesungguhnya aku sendiri sangat teruja dengan persiapan mereka untuk menyambut kehadiran Syawal. Meluap-luap keinginanku untuk semewah mereka dalam membuat persediaan. Atau walaupun tidak semewah mana asalkan sekali sahaja aku dapat rasakan sesuatu pembaharuan menyambut raya, ianya sudah memadai. Ini jangankan di bulan Syawal, hari-hari biasa pun keluargaku menjalani hidup yang serba kekurangan.
Jika dalam bulan Ramadhan memanglah kami adik beradik berpuasa. Pergi sekolah tidak perlukan bekalan. Tetapi di bulan-bulan lainnya, kami juga terpaksa ‘berpuasa’ kerana tiada apa yang boleh kami bawa sebagai bekalan. Hanya sekeping dua biskut semasa bersarapan sebelum ke sekolah buat mengalas perut. Nasib tidak baik, habuk biskut pun langsung tiada. Dalam usia tigabelas tahun, jiwaku masih terlalu muda untuk menahan rasa ingin tahu. Sukar untuk mengerti mengapa ini semua terjadi dalam keluargaku.
Aku sering gagal membuka mulut untuk bertanya apabila terpandang wajah ibu yang tidak pernahnya ceria. Juga melihat wajah ayah yang kepenatan. Walhal mahu sahaja aku bertanya kenapa setiapkali hari raya, pakaian kami tidak berganti? Kenapa tidak pernah terhidu bau kuih di bakar dalam rumah kami? Mengapa hidup keluarga kami tidak pernah senang? Di mana kesilapannya? Ayah dan ibu tidak pernah duduk diam dalam mencari kelebihan. Tetapi kenapa sering tidak kecukupan?
Pun begitu kepentingan menjaga hati kedua-dua ibu bapaku melebihi segalanya. Mereka pasti tidak punya jawapan untuk semua persoalan itu. Lantaran itu aku tidak mahu kata-kata Murni seterusnya menambahkan beban fikiran ibu. Tentu hati ibu sedang bergolak. Tetapi siapa sangka ibu masih dapat menangkap tujuan pertanyaan Murni berikutnya.
“Kak Ina agak ayah dah beli baju raya untuk kita ke belum?”
Aku menekup mulut Murni. Aku lihat ibu membuang pandangannya ke arah timbunan jahitan. Perlahan ibu berjalan menuju ke situ.
* * *
“Tak bolehkah diusahakan bang? Kesian kat anak-anak?”
Mati langkah Kak Ikin dan aku untuk memasuki rumah setelah pulang daripada sekolah apabila terdengar suara ibu. Ibu dan ayah sedang berbual di ruang depan rumah tanpa menyedari kehadiran kami. Kami berdua berlindung di balik pintu utama. Bukan betujuan mencuri dengar perbualan mereka. Tetapi bimbang mereka rasa bersalah kerana terlepas membicarakan masalah mereka di hadapan kami.
Bukan aku tidak tahu begitulah sifat sebenar kedua-dua mereka. Sungguhpun sudah jelas berapa sempitnya kehidupan yang kami tanggung, ayah dan ibu sedaya upaya menyorok keluh kesah mereka daripada pengetahuan anak-anak. Cuma sahaja Kak Ikin dan aku yang perasan beban mereka.
“Nak usahakan macammana lagi maksud awak? Dah puas saya ikhtiar. Kalau boleh saya tidak mahu meminjam lagi. Hutang dengan adik beradik pun belum dapat saya jelaskankan. Tak kan saya nak menuju pada mereka lagi? Kalau dah terpaksa, kita teruskan sajalah ‘berpuasa’ walaupun dah hari raya.”
“Enam orang anak kita, tidak kesemuanya mudah menerima penjelasan saya, bang. Apalagi bila dah terpengaruh dengan kata-kata kawan mereka. Saya tahu mereka tentu rasa malu. Saya yang sering berhadapan dengan pertanyaan-pertanyaan mereka. Alasan apalagi yang harus saya beri?” Terdengar keluhan ibu. Ibu tentu terkenangkan pertanyaan Murni yang belum terjawab tempohari. Nasib baik Murni tidak pulang bersama kami kerana ada kelas tambahan hari ini.
Terdengar lagi suara ayah sejurus kemudian. “Kalau dah tak ada buat saja hal tak ada. Tak perlulah kita menunjuk-nunjuk pada mereka yang kita mampu. Abang tak malu untuk mengaku kalau itu yang mereka mahu. Anak-anak kita adalah anak-anak yang baik dan patuh. Abang percaya mereka akan faham dengan keadaan kita. Harap-harap mereka ingat pesan abang dulu. Susah macammanapun abang tak benarkan mereka meminta-minta. Biarlah abang saja yang buat begitu...”
Aku memegang lengan Kak Ikin. Menggeletar seluruh tubuh ini. Suara ayah cukup perlahan membayangkan jiwanya yang sarat dengan kebuntuan. Terlalu sayu pada pendengaranku.
“Kita semua sedang diduga. Itupun dah cukuplah kita meminjam. Abang takut tak sempat nak bayar semula. Bimbang nanti abang pergi dengan meninggalkan beban hutang pada kamu semua.”
“Abang...”
Aku sudah tidak mendengar butir bicara ibu. Hatiku terlalu pilu. Terasa jejariku diusap lembut. Saat mata kami bertaut, tubir mata Kak Ikin sudah bergenangan. Kak Ikin juga merasa apa yang sedang aku rasa. Ya Allah...
* * *
Hari yang dinantikan semua umat Islam seluruh dunia bermula detik ini. Sebulan melalui ujian berpuasa di bulan Ramadhan sudah tiba pula saat kemeriahan menjelmanya Syawal. Ketika tabuh berbunyi, ketika itulah anak-anak kegirangan. Berduyun-duyun menunaikan solat lebaran di masjid-masjid dan surau-surau pilihan. Dengan berpakaian serba baru dan berarena corak serta warna. Alangkah meriahnya suasana.
Aku sekeluarga tidak ketinggalan. Namun kami yang perempuan lima beradik beserta ibu, sekadar di tutupi hejab yang labuh menutupi jari sesuai untuk bersolat. Itu hasil jahitan ibu 3 tahun lepas. Sebenarnya itu lebih baik daripada menunjukkan pakaian yang tersarung di sebalik hejab tersebut.
Murni sejak semalam sudah menunjukkan sikap tidak puashatinya. Dia berura-ura untuk solat di rumah sendirian. Bimbang terserempak dengan rakan sekolah katanya. Bukan bimbang sebenarnya tetapi lebih kepada malu kerana baju raya yang dihajati tidak dimiliki.
Ayah begitu tenang dan sabar memujuknya. Kata ayah, bukan kawan-kawan atau orang lain yang mahu kita jumpa tetapi Allah yang Maha Besar. Biarlah mereka semua tidak memandang kita tetapi Allah yang Maha Mengasihani tidak memilih sesiapa jua tetap dalam pemerhatiannya. Mudah benar Murni mengalah akhirnya.
Tiba di rumah selesai bersolat, perutku sudah mula minta di isi. Adik-adik apatah lagi. Hanya mereka yang berlebihan merengek sedangkan aku sekadar terdiam bila melihat meja kosong tanpa hidangan hari raya yang sepatutnya. Kak Ikin sedaya upaya memujuk adik-adik. Ayah kelihatannya sangat tersiksa. Sementara ibu kelihatan tenang sahaja sambil menyelongkar almari. Apa yang ibu cari?
“Zana.., Murni.., Sarah! Mari cuba baju ni.” Tiba-tiba kami dikejutkan dengan panggilan ibu. Sebuah bungkusan plastik berada di tangan ibu. Waktu ibu mengeluarkan isinya, terjerit-jerit adik-adikku kegirangan.
“Yeh! Yeh! Baju baru..,” Murni menyambut pakaian yang dihulur ibu. Begitu juga Zana dan Sarah. Tetapi...
“Kenapa bertampal-tampal dan tak sama coraknya, bu?” Zana mengemukakan komennya tanpa sedar. Aku lihat ibu menarik nafas mencari sedikit kekuatan sebelum menjawab.
“Ini bukan tampal sayang. Tapi ibu sambung-sambung dari lebihan kain perca jiran-jiran yang mengupah ibu menjahit. Itu saja yang ibu dapat lakukan untuk kamu.”
Ayah memandang ke lain. Tidak sanggup memandang kesedihan ibu. Adikku bertiga nampaknya tidak begitu kisah dengan alasan ibu. Jelas terlihat keriangan masing-masing menerima pakaian baru.
“Amin nya baju mana ibu?”
Serta merta ibu mencari wajah anak bongsunya yang berada di pangkuan Kak Ikin. Saat itulah mata ibu singgah padaku. Aku menunduk. Tidak mahu ibu terbaca apa yang ada dalam fikiranku. Ya, kalaulah ibu tahu aku sedang ternanti baju baruku juga. Hanya sahaja mulut ini berat mahu bertanya.
“Amin ke mari dekat ayah, sayang.” Merasa patut dirinya bertanggungjawab melindungi ibu yang serba salah, ayah menggamit Amin mendekatinya. Biarlah dia sahaja yang menangani kerenah anak lelakinya yang seorang itu.
“Amin kan lelaki, corak kain yang ibu jahit tu sesuai untuk orang perempuan. Takkan Amin nak pakai macam orang perempuan kan. Malulah nanti di ejek orang.”
“Habis Amin nak pakai baju apa?”
“Amin sama dengan ayah, kita pakai baju ni pun jadilah ya.” Amin menelek baju yang tersarung di tubuhnya. Baju berwarna kuning yang sudah kusam adalah pemberian salah seorang mak cik kami 2 tahun lepas. Itulah yang masih baik dalam simpanan untuk Amin biarpun sudah agak singkat.
‘Tak mengapalah kali ini Amin tak ada baju baru. Insya-Allah lain kali, jangan kata ayah, kakak-kakak Amin semua nanti akan belikan Amin baju seorang satu. Ya kan kakak?” Laung ayah kepada kami semua. Mengharapkan sokongan untuk menangi hati Amin. Pantas kami semua mengiakan.
“Ini untuk Ikin dan Ina.”
Terkejut dengan sapaan ibu, entah bila satu lagi beg plastik sudah berada di tangan ibu. Aku memandang Kak Ikin yang juga terkejut. Dia yang menyambut beg itu dan mengeluarkan isinya. Terdapat dua pasang pakaian yang kainnya...
“Inikan baju ibu?” Tanya Kak Ikin. Aku ingat sangat kata ibu itulah antara hadiah ayah sewaktu baru-baru mereka berumahtangga. Dua pasang baju songket yang berlainan warna. Kenapa ibu beri kepada kami pula? Aku memandang ayah. Tiada reaksi apa-apa.
“Warnanya dah tak sesuai pada ibu yang dah semakin berusia ni.” Itulah alasan ibu. Ada gelak di hujung bicaranya. “Ibu dah ubah kasi kecil mengikut saiz kamu berdua. Yang warna cerah tu untuk Ina. Kamu pakailah.”
Suasana sepi seketika. Ayah tidak terkata. Aku terus terpaku dan masih mencari sesuatu dalam kata-kata di sebalik sikap tenang ibu. Ikhlaskah ibu? Penting sangatkah membahagiakan kami sehingga sanggup ibu mengorbankan harta miliknya? Sungguhpun jauh di sudut hati gadis seusiaku, pemberian begitulah yang aku tunggu-tunggu. Tetapi tidaklah pula sampai minta ibu berkorban begitu sekali.
“Cepatlah tukar baju semuanya. Kamu semua laparkan? Kita bersiap dan pergi ke rumah nenek. Nenek tentu dah masakkan untuk cucu-cucunya.” Kemudian ibu menghilangkan diri di dalam bilik. Aduhai ibu!
* * *
Berada di rumah nenek, suasana begitu meriah sekali. Apakan tidak, semua adik beradik sebelah ayah yang seramai lapan orang datang berkunjung dan berkumpul di rumah nenek. Masing-masing ada yang membawa juadah untuk memperbanyakkan juadah nenek yang sedia ada. Ibu dan ayah kelihatan biasa-biasa sahaja. Tidak pula merasa rendah diri kerana datang dengan tangan kosong. Itu hanya pandangan mata kasar aku sahaja. Tetapi benarkah begitu?
Masih tersimpan kemas di ingatanku pesanan ayah sebelum keluar rumah tadi. Kata ayah, lapar bagaimanapun berhentilah sebelum kenyang. Memang kedengaran seperti pesanan biasa, namun ada mesej di sebalik pesanan itu yang cuba ayah sampaikan. Tidak perlu bimbang ayah. Atas didikan ayah dan ibu, mana mungkin kami semua akan menjatuhkan air muka ayah dengan bersikap gelojoh di hadapan mereka.
Berada di tengah-tengah keriuhan begitu, lupa seketika masalah keluarga. Lebih-lebih lagi saat yang sangat dinantikan oleh kanak-kanak seperti kami. Waktu pembahagian duit raya. Pesanan ayah agar jangan meminta-minta tersemat di ingatanku. Mungkin juga di ingatan adik beradikku. Kerana itu penerimaan kami tidaklah segalak mana. Tidak pula terlonjak-lonjak kerana terlalu gembira. Semua itu atas rasa menjaga hati ayah.
Aku bangga dengan ayah kerana tidak malu untuk mengaku bahawa dia belum berkemampuan memberi wang zakat kepada anak-anak buahnya sepertimana mereka. Syabas ayah!
Namun kegembiraan tidak terbendung lagi sebaik sahaja kami semua pulang ke rumah. Aku dan adik beradik yang lain tidak sempat-sempat berbuat apa, terus mengeluarkan isi sampul masing-masing dan mengiranya. Kepada adik yang tidak pandai mengira, habuan mereka dibantu Kak Ikin mengiranya.
Lumayan! Aku seorang mendapat jumlah yang mencecah hampir $100. Satu jumlah yang tidak pernah kumiliki selama ini. Kami semua bersorak keriangan dan mula terbayang difikiran untuk membeli sesuatu yang kami hajati selama ini.
Murni sudah menyuarakan hajatnya mahu membeli sepasang baju kurung baru untuk dipakai ketika keluar beraya dengan kawan-kawannya. Begitu juga Zana dan Sarah. Amin kata mahu membeli barang permainan. Sedang aku berkira-kira untuk bersuara hajatku pula, kami dikejutkan dengan suara panggilan ayah.
Rupanya kerana kegembiraan yang tidak terhingga, aku terlupa ada ayah dan ibu yang memerhati gelagat kami di satu sudut bersama perasaan hiba. Wajah ibu sudah lecun dengan airmata. Tubuhnya bergegar kerana tangisan. Kenapa dengan ibu?
Perlahan ibu datang menghampiri kami. Tangannya lembut mengusap rambutku. Kami semua memandang ibu dengan tanda tanya.
“Ibu tahu kamu semua sudah terfikir untuk membeli sesuatu. Itu duit kamu. Hak kamu.” Ibu berusaha menghapuskan airmata sebelum menyambung. “Tapi ibu minta maaf. Dalam keadaan kita macam ni, ibu terpaksa meminta. Boleh tak kesemua anak-anak ibu mengorbankan sedikit duit raya kalian supaya ibu dapat beli beras untuk makanan kita malam ini?”
Ya Allah! Betapa berdosanya aku rasakan saat itu. Alpa dengan kemewahan yang aku miliki di hadapan mata sehingga terlupa pada keperitan hidup keluarga. Mungkin itu hikmahnya hidup keluargaku sentiasa tidak kecukupan. Bimbang kami leka dan terlupa untuk bersyukur. Nauzubillah... Musnah sudah rasa terujaku sebentar tadi. Melihat airmata ibu, aku turut menangis. Begitu juga kakak dan Zana. Hanya Murni dan Sarah yang masih terpinga-pinga. Amin pula langsung tidak mengerti. Mereka bertiga masih terlalu kecil untuk memahami erti kesusahan. Ayah di sudut sana sedang menutup wajah dengan kedua-dua tapak tangannya.
Jauh di sudut hati kecilku berbisik. Sampai bila kesusahan mahu menghambat semua keinginanku? Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemberi. Berilah kami sekeluarga akan hidayah-Mu. Amin. Saat pandanganku terjamah ke wajah kakak, aku seperti mendapat hidayah yang aku pinta. Daripada renungan kakak, aku yakin fikiran kami serupa.
* * *
Bukan main marah ayah apabila mendengar tekad aku dan Kak Ikin. Kami minta diberhentikan sekolah agar dapat membantu mencari rezeki. Biarlah adik-adik sahaja yang bersekolah. Mungkin pada perkiraan ayah fikiran kami masih terlalu mentah untuk membuat sebarang keputusan. Tetapi ayah lupa bahawa kami semua dibesarkan dalam keadaan yang terpaksa menerima hakikat kehidupan. Hidup dibelenggu kemiskinan. Pengalamanlah yang mematangkan fikiran kami.
Memang usia yang semuda kami, apalah kerja yang boleh kami lakukan. Lantas kami berfikir sebaliknya iaitu melakukan kerja yang sesuai dengan usia kami. Pengalaman kakak menjaga adik-adik membolehkan kakak berkelayakan menjaga anak orang. Dan aku... Minatku lahir turun menurun dari ibu juga. Aku minat menjahit. Daripada ibu aku boleh mempelajari selok belok menjahit. Esok lusa tentu banyak tempahan yang boleh kami terima lantaran sudah ada dua orang yang mengerjakan.
Memang payah meyakinkan ibu dan ayah akan kemampuan kami. Melihat kesungguhan kami akhirnya mereka bersetuju juga. Itupun setelah kami berjanji akan menyambung semula pelajaran apabila ekonomi keluarga stabil.
Langkah seterusnya bermula dengan duit raya, kami berdua merancang untuk memberi kesemua bahagian kami untuk perbelanjaan dan yang sedikitnya dijadikan modal berjualan. Ibu membuat epok-epok. Di samping menjaga anak orang kakak turut membantu ibu. Tugasku menjajanya di estet perumahan berdekatan. Melihat kesungguhan kami membantu, akhirnya kesemua adik beradikku yang lain turut menyerahkan duit raya mereka. Dapat juga menambah modal ibu berjualan.
Selain menjaja, ibu memajak di kantin sekolah. Zana yang ditugaskan membawa pergi dan pulang hasil jualan. Ayah juga turut main peranan. Pulang sahaja kerja ayah akan berbasikal ke tepian pantai, ke padang-padang bola atau ke mana sahaja dengan membawa raga berisi epok-epok ibu. Cepat sahaja ayah pulang dengan raga kosong. Kepuasan jelas di wajahnya biarpun kepenatan yang tidak terhingga.
Epok-epok ibu memang sedap. Kulitnya rangup dan isinya padat. Kerana itu permintaan semakin bertambah kian hari. Bahkan ibu mula menerima tempahan untuk kenduri dan majlis keramian. Ibu bijak memanfaatkan wang hasil jualan. Tolak pusingan modal, lebihannya ibu akan berhemat sebaik-baik mungkin. Ada kelebihan ibu tidak lupa mencapaikan hajat adik-adik yang mahukan baju baru dan barang permainan untuk Amin.
Alhamdulillah dengan berkat ketegasan aku dan kakak memujuk ayah dan ibu supaya merestui tekad kami, sedikit demi sedikit perubahan dapat dirasakan dalam kehidupan keluarga kami. Tidak terlupa janji kami pada ayah, bila ada rezeki lebih aku dan kakak jadikan modal bayar yuran untuk mengikuti kelas malam. Kami tidak mahu terlepas peluang mengejar apa yang kami ketinggalan.
* * *
“Ikin..! Ina..! belum sudah-sudah lagi ke mengemas baju tu? Tak tengok ke sudah dekat waktu berbuka ni. Marilah tolong ibu sajikan makanan.” Jeritan ibu melenyapkan kenangan perit masa silam yang hampir 15 tahun aku tinggalkan. Tinggal bersama segala kepayahan hidup. Semuanya bermula dengan duit raya. Aku teringat akan kata-kata, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Yang penting perlu berusaha dan juga kesabaran.
Aku bertukar pandangan dan senyuman dengan Kak Ikin. Kak Ikin kini baru sahaja menamatkan pelajarannya ke peringkat PhD. Biar terlewat umur tidak menjadi halangan. Setelah tamat peringkat menengah kakak memang berhasrat untuk menyambung pelajarannya. Sementara aku lebih berminat untuk mempertingkatkan kemahiran menjahit hingga keperingkat NTC. Kini aku sedang berjinak-jinak dalam bidang mereka fesyen pula.
Ketika tiba waktu berbuka, kami lapan beranak masih kekal bersama. Masih makan berdamai. Masih tidak putus bersyukur atas rahmat-Nya. Yang berubah dan bertambah adalah masa dan usia. Melihat kedutan di wajah ayah dan ibu yang semakin ketara, bertambah lagi rasa insaf dalam jiwaku. Alhamdulillah mereka masih berpeluang untuk nikmati kehidupan yang lebih sempurna. Insya-Allah tekad aku, Kak Ikin dan adik-adik mahu membalas jasa dan pengorbanan ibu dan ayah. Amin.
TAMAT
Salam Sayang
Putri Lily
sedihnya... :(
BalasPadamTerima kasih kerana membaca. Saya rasa saya tau siapa anda walau tanpa nama :)
PadamMaaf lewat membalas komennya ya.